Skip to main content

Singapura

Penuntut NUS dibayar untuk didik pelancong tentang etika di kampus, pimpin lawatan berpandu

Anggaran Waktu Membaca:
Penuntut NUS dibayar untuk didik pelancong tentang etika di kampus, pimpin lawatan berpandu

(Gambar: Reddit/Sad-Credit-9857, merlion_sg)

SINGAPURA: Universiti Nasional Singapura (NUS) akan membayar 40 penuntut supaya bekerja sambilan, untuk mendidik kumpulan pelancong mengenai etika di kampus dan menjalankan lawatan berpandu, umum universiti tersebut pada Rabu (14 Ogos).

Dalam emel yang disaksikan Mediacorp, berikutan aduan dibuat secara online mengenai kelakuan buruk para pelancong di kampus NUS, universiti tersebut memberitahu para penuntut bahawa ia akan melancarkan projek perintis selama dua bulan antara 5 Ogos sehingga 30 September, melibatkan mahasiswa yang akan dilatih sebagai duta NUS.

Mereka akan diberikan gaji di bawah skim kerja penuntut NUS dan akan bertugas pada waktu bekerja semasa hari minggu di Pusat Stephen Riady. Demikian menurut emel NUS yang ditandatangani Professor Madya Daniel Goh, provost kanan pendidikan mahasiswa.

Duta penuntut itu akan "mendekati" kumpulan pelancong yang kecil atau bergaul dengan kumpulan lebih besar yang diketuai pemandu pelancong bebas, untuk mendidik mereka tentang garis panduan dan etika pelawat.

Mereka juga akan menjalankan lawatan berpandu di University Town, atau UTown, sebuah hab yang menggabungkan ruang penginapan, kemudahan mengajar dan ruang belajar di universiti itu. Lawatan berpandu tersebut boleh ditempah oleh ejen pelancongan yang memiliki lesen Lembaga Pelancongan Singapura (STB)

Sejak dua minggu lalu, duta-duta yang memakai kemeja-T berwarna perang, sudah menjalankan lebih daripada 25 lawatan berpandu, tambah NUS.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, sejumlah catatan di Reddit menggesa NUS untuk menyekat akses kepada pelancong di universiti tersebut. Catatan itu mengandungi aduan tentang kelakuan pelancong yang dianggap mengganggu, seperti memenuhi bas ulang-alik, perpustakaan pusat dan medan selera yang disediakan untuk penuntut.

Di platform media sosial China, Xiaohingshu, terdapat beberapa catatan yang mempromosikan lawatan berpandu berbayar ke kampus UTown, perpustakaan pusat serta muzium.

Universiti Tekonologi Nanyang (NTU) juga mengalami isu serupa awal tahun ini, dengan para penuntutnya mengadu tentang jumlah pelawat yang ramai.
Selain duta penuntut, NUS juga menyenaraikan langkah-langkah lain dalam emel tersebut. Sebagai contoh, ia merancang supaya bas persiaran hanya mengambil dan menurunkan pelawat di lokasi yang ditetapkan, serta meningkatkan kekerapan bas ulang-alik.

Di medan selera pula, kakitangan akan dikerah untuk mengingatkan para pelawat supaya memberikan keutamaan kepada kakitangan NUS dan penuntut ketika waktu puncak. Kawasan yang boleh diakses penuntut akan dibersihkan dengan lebih kerap.

Menurut NUS, ia juga merancang untuk meletakkan papan tanda untuk memaklumkan para pelawat mengenai kawasan yang tidak dibenarkan masuk, dan kawasan yang tidak dibenarkan mengambil gambar dan video. Terdapat rancangan untuk meningkatkan kawalan dan keselamatan untuk mencegah sebarang kejadian pecah masuk.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita