Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penuntut Institut Pengajian Tinggi dapat raih manfaat CPEF mulai Jan depan

Para penuntut Institut Pengajian Tinggi kini dapat meraih manfaat daripada peluasan Dana Pendedahan Persembahan Budaya (CPEF) bermula 2 Januari depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para penuntut Institut Pengajian Tinggi kini dapat meraih manfaat daripada peluasan Dana Pendedahan Persembahan Budaya (CPEF) bermula 2 Januari depan.

Dana tambahan juga akan diberikan kepada sekolah-sekolah yang menawarkan Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) bagi menggalak para pelajar menghadiri persembahan budaya Melayu.

LEBIH RAMAI PENUNTUT DAPAT RAIH MANFAAT

Dana Pendedahan Persembahan Budaya diperluaskan kepada para penuntut institut pendidikan pos menengah dan Institut Pengajian Tinggi yang menawarkan program Bahasa Melayu.

Ini terdiri daripada para penuntut di Politeknik Singapura (SP), Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Sebelum ini, CPEF hanya dibuka kepada sekolah rendah, menengah, maktab rendah dan Institut Millenia sahaja.

Sekolah-sekolah dengan Program Khas Bahasa Melayu dan sekolah menengah yang menawarkan Kesusasteraan dalam Bahasa Melayu juga bakal menerima dana maksimum $3,500 setahun.

Ini berbeza berbanding sebelum ini, yang mana jumlah dana maksimum bagi semua sekolah adalah $2,500 setahun.

MLLPC BIAYA KOS PENUH TIKET

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) juga akan membiayai kos penuh tiket persembahan budaya Melayu menyusuli perubahan tersebut.

Harga tiket persembahan yang disarankan bagaimanapun dikekalkan - tidak melebihi $50 seorang bagi sekolah rendah dan menengah dan $70 bagi penuntut posmenengah dan pengajian tinggi.

Senarai pelajar yang menghadiri persembahan itu juga akan diserahkan ke MLLPC sebelum invois penganjur dikirimkan langsung ke MLLPC.

DIJANGKA BERI MANFAAT PELBAGAI PIHAK

Peluasan ini juga dijangka memberi manfaat kepada pelbagai pihak dalam usaha menaikkan taraf bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu di sini.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Profesor Madya Faishal Ibrahim berkata: "Ini membuka lebih banyak peluang bagi pelajar-pelajar kita untuk aspek pendedahan mereka kepada bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu."

"Juga lebih ramai pelajar dapat melihat bagaimana bahasa Melayu dan budaya kita hidup. Mereka dapat melihat bagaimana kumpulan-kumpulan seni kita boleh terus relevan dan boleh menyediakan pelbagai acara dan aspek keseronokan dalam pembelajaran anak-anak kita," kata Dr Faishal yang juga Pengerusi MLLPC.

Perancang program di Esplanade, Cik Hanie Nadiah pula yakin peluasan ini memberi peluang lebih ramai pelajar menghadiri acara seperti Pesta Raya dan Pesta Seni Melayu.

"Ia akan menggalak lebih ramai pelajar dan guru-guru untuk membawa anak-anak murid mereka untuk datang ke Esplanade untuk menyaksikan lebih banyak rancangan Melayu yang kami terbitkan khas untuk mereka," ujar Cik Hanie.

Setakat ini, CPEF sudah memberi manfaat kepada lebih 5,500 pelajar dari 125 sekolah rendah, menengah, maktab rendah dan Institut Millenia.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan