Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penunjuk perasaan bersiri didakwa atas insiden di Kedutaan AS di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 46 tahun yang pernah dikenakan hukuman sekurang-kurangnya 10 kali kerana mengadakan tunjuk perasaan haram termasuk beberapa insiden di luar Stesen MRT Raffles Place, didakwa hari ini (14 Jun) kerana mengadakan satu lagi tunjuk perasaan di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini. 

Yan Jun kini berdepan dengan satu tuduhan menyertai perhimpunan awam tanpa permit pada Ahad (12 Jun) dan satu tuduhan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam. 

Warga Singapura itu dituduh memegang lapan sepanduk berbeza "meluahkan bantahannya" terhadap pelbagai tindakan semasa berdiri di luar kedutaan itu di Napier Road sekitar pukul 2.17 petang pada Ahad (12 Jun). 

Dokumen-dokumen mahkamah menyatakan salah satu sepanduk itu tertera "Saya membantah ejen CIA David Road kerana mengintip saya di Penjara Changi!" 

CIA merujuk kepada Agensi Perisikan Pusat AS dan Yan menulis tentang David James Roach yang dikenakan hukuman penjara selama lima tahun dan dirotan tahun lalu kerana merompak cawangan bank Standard Chartered di Holland Village pada 2016. 

Roach, seorang warga Kanada, melarikan diri dari Singapura, namun akhirnya dihantar ke sini dari Britain menyusuli satu proses yang panjang. Hukuman rotannya diketepikan untuk memenuhi jaminan yang diberikan pihak berkuasa di sini kepada pihak berkuasa Britain. 

Yan juga menuntut Parti Tindakan Rakyat (PAP), Presiden AS Joe Biden, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau supaya "memberi penjelasan mengenai pengintipan Roach". 

Antara sepanduk-sepanduk lain termasuk sesetengah yang dipamerkannya di luar kedutaan AS pada November 2020. 

Yan mendakwa bahawa sistem undang-undang Singapura "amat tercemar", Penjara Changi merupakan "kem hamba" dan bahawa pemerintah di China tidak mempedulikan "kegiatan pengintipan" pemerintah Singapura di China. 

Dokumen mahkamah menyatakan kali terakhir Yan didenda S$5,000 pada Februari tahun ini kerana mengambil bahagian dalam satu perhimpunan awam tanpa permit. 

Pada 2018, apabila dikenakan hukuman penjara dan denda kerana menunjuk perasaan secara haram di luar Stesen MRT Raffles Place, Yan tidak mempedulikan hakim dan pendakwa semasa perbicaraannya. Yan juga memekik ke arah hakim dan mengganggu perbicaraan beberapa kali. 

Dalam perbicaraan mahkamah baru-baru ini, laporan psikiatrik daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) menunjukkan bahawa Yan mengalami penyakit delusi. Namun, tiada kaitannya antara penyakit mental itu dengan kesalahannya sebelum ini. 

Pada Selasa (14 Jun), Yan ditahan reman di IMH sekali lagi bagi pemeriksaan psikiatrik. Dia akan kembali ke mahkamah pada 28 Jun. 

Jika sabit kesalahan berkelakuan tidak senonoh, Yan boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga S$2,000. 

Di bawah Akta Ketenteraman Awam, pesalah yang mengambil bahagian dalam perhimpunan awam berulang kali tanpa permit boleh didenda sehingga S$5,000, manakala pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga S$3,000. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan