Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penunggang motosikal maut dalam nahas di ECP; penumpang lompat keluar dari bas mini

Anggaran Waktu Membaca:
Penunggang motosikal maut dalam nahas di ECP; penumpang lompat keluar dari bas mini

Gambar: Instagram/sandrafaustinalee

SINGAPURA: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di East Coast Parkway pada Rabu (8 Nov), di mana seorang penumpang melompat keluar dari sebuah bas mini.

Menurut polis, pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan melibatkan sebuah bas mini, lori dan motosikal di ECP yang menghala ke Ekspreswe Pantai Marina (MCE) sebelum jalan susur keluar ke Ekspreswe Kallang-Paya Lebar (KPE), sekitar pukul 11.05 pagi Rabu.

Penunggang motosikal berusia 27 tahun itu dalam keadaan tidak sedar ketika dikejarkan ke hospital, di mana beliau meninggal dunia, menurut polis pada Khamis semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Mediacorp difahamkan bahawa seorang penumpang bas mini yang berusia 38 tahun, melompat keluar daripada kenderaan itu ketika ia berada di lebuh raya.

Dia diberkas tidak lama selepas kemalangan itu dan dia kini sedang membantu siasatan polis.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di ECP pada kira-kira 11.05 pagi pada Rabu dan seorang lelaki dikejarkan ke hospital.

Beberapa pemandu lain menghentikan kenderaan masing-masing untuk menghulurkan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada penunggang motosikal terbabit. Cik Lynn Long-Yam, seorang jururawat yang bertugas di Active Global Respite Care, adalah pemandu pertama yang berada di tempat kejadian.

"Saya bergegas ke (penunggang motosikal itu), yang terbujur di tempat kejadian. Saya memanggilnya, saya cuba menepuk bahunya kerana dia berbaring pada sebelah kirinya, hampir menghadap ke bawah," ujarnya.

"Dia (bagaimanapun) tidak memberi sebarang respons kepada saya."

Beberapa minit selepas beliau tiba di tempat kejadian, pelari maraton Ashley Liew dan isterinya Sandra yang melihat kekecohan turut menghentikan kenderaan mereka untuk membantu.

"Lynn menghubungi 995. Semasa membuat panggilan itu, mereka memberitahunya bahawa 'anda perlu memusingkan tubuhnya untuk melakukan CPR', jelas Cik Liew.

Mereka mendapati penunggang motosikal itu mengalami pendarahan pada bahagian kepala dan pergelangan tangannya didapati patah.

Dengan Cik Long-Yam dan Encik Liew terus melakukan CPR, Cik Liew masih berhubungan dengan khidmat ambulans untuk menyelaraskan bantuan.

"Tidak lama selepas kami berdua melakukan CPR, seorang lagi menyertai kami. Dia adalah (seorang kakitangan) Hospital Tan Tock Seng ... dia juga membantu memeriksa mangsa dan degupan jantungnya," kata Encik Liew.

Cik Long-Yam dan Encik Liew bergilir-gilir melakukan CPR sebelum ambulans tiba di tempat kejadian.

Menurut pemandu bas mini, kira-kira 15 hingga 20 minit sebelum ada orang yang berhenti untuk membantu mereka. Apabila jururawat itu terdengar mengenai kelengahan itu, dia menjadi bimbang.

Encik Liew menambah: "Hakikatnya, banyak masa sudah berlalu dari saat berlaku kejadian itu ... kami berpendapat jika seseorang sudah berhenti lebih awal untuk memeriksa dan meminta bantuan, walaupun anda tidak tahu bagaimana untuk melakukan CPR ... sekurang-kurangnya cuba meminta bantuan.

"Masa 15, 30 minit yang berharga itu boleh dimanfaatkan dengan lebih baik lagi."

Cik Long-Yam serta pasangan tersebut berkongsi bahawa mereka sudah menghubungi keluarga mangsa dan menyampaikan takziah kepada mereka. Mereka mendapat tahu daripada keluarganya bahawa isteri penunggang motosikal itu sedang hamil.
Sumber : CNA/HA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan