Penunggang motosikal dakwa unit ERP 2.0 sebabkan motosikal cepat kehabisan bateri
SINGAPURA: Lebih setahun selepas motosikal-motosikal mula beralih kepada sistem ERP 2.0, sesetengah penunggang motosikal menimbulkan keprihatinan bahawa unit dalam kenderaan (OBU) baharu itu menghabiskan bateri mereka dengan lebih cepat berbanding peranti sebelumnya.
Beberapa penunggang motosikal juga memberitahu Mediacorp bahawa bateri motosikal mereka kehabisan lebih cepat selepas OBU itu dipasang, khususnya apabila motosikal itu tidak digunakan selama beberapa hari.
Aduan itu juga timbul di beberapa forum online.
Namun, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan bengkel-bengkel motosikal menyatakan isu tersebut tidak berkemungkinan disebabkan oleh OBU itu, sebaliknya ia mungkin disebabkan oleh penuaan bateri dan isu elektrik yang lain.
OBU baharu itu direka bentuk bagi sistem ERP 2.0 berasaskan satelit Singapura yang baharu.
Para penunggang motosikal mula beralih daripada unit dalam kenderaan yang lama pada Jun tahun lalu, dengan semua kenderaan perlu memasang sistem baharu tersebut menjelang hujung tahun ini.
Setakat Oktober, lebih 146,000 motosikal - kira-kira 97 peratus - sudah pun dipasang OBU, menurut LTA.
Pihak berkuasa itu menyatakan ia menerima kira-kira 60 kes maklum balas berkaitan OBU menghabiskan bateri motosikal.
OBU HABISKAN BATERI MOTOSIKAL DENGAN CEPAT
Cik Jane Ye, yang menunggang motosikal Yamaha berusia enam tahun, berkata dengan IU lama baterinya mula kehabisan selepas seminggu tidak aktif.
Selepas memasang OBU pada awal tahun ini, beliau mendapati bateri mula kehabisan hanya beberapa hari selepas beliau tidak menunggang motosikal.
"Sebelum OBU, IU lama yang menghabiskan bateri sekali sahaja sepanjang lima tahun saya menunggang motosikal," kata Cik Ye yang bekerja sebagai pengurus pentadbiran, di mana bateri motosikalnya kehabisan sebanyak dua kali selang beberapa bulan selepas unit itu dipasang.
Sementara itu, Encik Tommy Lee, 57 tahun, pengarah firma berbasikal lasak Route 55 Adventures berkata bateri motosikalnya menjadi lemah dengan ketara selepas 40 hari ia tidak digunakan.
"Enjin tidak hidup dengan serta-merta apabila ia pertama kali ditekan dan ia satu tanda bahawa kuasa bateri adalah lemah," katanya.
"Saya pernah tinggalkan motosikal saya selama tempoh yang lama sebelum ini, satu hingga dua bulan kadangkala, dan tiada masalah dengan IU yang lama."
PENGGUNAAN KUASA LEBIH RENDAH BERBANDING SISTEM LAMA: LTA
LTA menyatakan OBU itu direka untuk menarik arus minimum walaupun motosikal itu dimatikan, dan tarikan kuasa itu sebenarnya lebih rendah berbanding IU sebelumnya.
Seperti IU yang lama, OBU memerlukan kuasa berterusan untuk beroperasi.
Menurut laman One Motoring LTA, apabila pencucuhan kenderaan dimatikan, OBU akan bertukar kepada mod tidur dan menggunakan kuasa lebih rendah berbanding IU sebelumnya.
Seorang jurucakap berkata OBU berfungsi seperti komputer mini yang sentiasa menghantar dan menerima maklumat seperti perkembangan trafik, sekali gus memerlukan bekalan kuasa berterusan untuk beroperasi secara boleh dipercayai dan mengekalkan prestasinya.
"Isu-isu bateri motosikal tidak berkemungkinan dikaitkan dengan OBU yang dipasang," menurut jurucakap itu.
"Dalam kes-kes demikian, ia berkemungkinan motosikal itu mempunyai bateri yang lemah atau lama."
Bengkel-bengkel motosikal menyokong penilaian LTA, sambil menarik perhatian kepada beberapa faktor menjangkau OBU yang boleh menyebabkan bateri kehabisan.
Encik Willian Tan, pengarah THCycle Motorcycle Repair and Servicing Workshop berkata OBU tidak akan menghabiskan bateri motosikal melainkan ia diusik.
Tidak seperti IU sebelumnya, yang hanya mempunyai dua wayar yang disambungkan ke terminal bateri, OBU mempunyai tiga wayar yang disambungkan ke kedua-dua terminal bateri dan pencucuhannya.
Encik Tan berkata OBU mempunyai baterinya sendiri.
"Kita menyambungkannya kepada bateri kerana kita perlukan sokongan bagi bateri kecil dalam OBU, dan wayar tambahan ke pencucuhan - apabila anda hidupkan motosikal baru ia akan membekalkan kuasa kepada OBU."
Beliau menambah masalah bateri mungkin berlaku disebabkan oleh pendawaian yang tidak dilakukan dengan betul lalu menyebabkan kebocoran arus.
Bateri-bateri moden juga mempunyai jangka hayat lebih pendek berbanding model-model lama, kata Encik Tan, dan para pengguna mungkin mengalami isu sedang bateri-bateri motosikal mereka mencapai jangka hayatnya.
Cik Nur Shakila dari bengkel spesialis Ban Hock Hin berkata ia menerima kurang 40 kes kehabisan bateri sejak pemasangan OBU bermula.
OBU menggunakan jumlah kuasa yang sangat kecil ketika dalam mod tidur berbanding dengan IU, katanya, dan ia tidak seharusnya menyebabkan bateri yang berfungsi dengan baik mudah kehabisan dalam keadaan biasa.
"Dalam kebanyakan situasi, prestasi bateri dan kestabilan kuasa dipengaruhi bukan sahaja oleh usia dan kondisi bateri, tetapi juga oleh keseluruhan kesihatan sistem elektrik motosikal," katanya.
"Sesetengah motosikal, walaupun masih boleh dihidupkan, mungkin mempunyai isu-isu sampingan seperti penerus yang lemah, gegelung magnet yang rosak atau komponen elektrik lain yang menjejaskan kecekapan pengecasan."
SARANAN BAGI PENUNGGANG MOTOSIKAL
Bengkel-bengkel biasanya akan memeriksa kesihatan bateri apabila memasang OBU dan menyarankan supaya ia digantikan jika perlu.
Bagi motosikal-motosikal yang tidak digunakan untuk tempoh yang lama, Cik Shakila menyarankan supaya para penunggang menggunakan motosikal mereka secara berkala selama kira-kira 10 minit setiap dua minggu, atau menggunakan pengecas bateri bijak apabila motosikal tidak digunakan untuk tempoh berpanjangan.
"Kami amat mengesyorkan agar OBU disambungkan kepada bekalan kuasa berterusan untuk mengelak menjejaskan fungsi dan jangka hayatnya dengan betul," katanya.
Bengkel memberi amaran terhadap pendawaian semula OBU atau memutuskan sebarang wayar, kerana ia boleh mengganggu atau merosakkan peranti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.