Penunggang e-skuter dipenjara 6 minggu kerana cederakan pejalan kaki di kolong blok
Setelah habis tugas syif malam di sebuah depot bas, A Sujendran seorang pekerja pembersihan dan atendan pam minyak separuh masa, menunggang e-skuternya dalam perjalanan ke rumah.

Gambar fail sebuah skuter elektronik digunakan. (Gambar: AFP/Tobias Schwarz)
SINGAPURA: Setelah habis tugas syif malam di sebuah depot bas, A Sujendran seorang pekerja pembersihan dan atendan pam minyak separuh masa, menunggang e-skuternya dalam perjalanan ke rumah.
Sementara itu, Encik Mohamed Salam Kadir yang bertugas sebagai pemandu bas pula dalam perjalanan ke tempat kerja untuk syif pagi.
Pada awal satu pagi tahun lalu, kedua-dua lelaki itu sedang menuju ke arah yang sama di sebuah kolong blok di Yishun apabila Sujendran terlanggar Encik Salam menyebabkan beliau mengalami kecederaan pada kaki.
Pada waktu kejadian, Sujendran sedang menunggang e-skuter yang tidak memenuhi piawaian dengan berat hampir 27 kilogram pada kelajuan 28km/jam. Ini melebihi berat maksimum 20 kilogram yang dibenarkan untuk alat itu dan had kelajuan yang dibenarkan iaitu 10km/jam di laluan pejalan kaki dan 25km/jam di laluan-laluan awam.
Atas tindakan terburu-buru yang menyebabkan kecederaan teruk ke atas Encik Salam, Sujendran dikenakan hukuman penjara enam minggu pada Selasa (8 Okt).
Hukuman itu dijatuhkan selang sehari Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Janil Puthucheary berkata di sidang Parlimen bahawa Pemerintah mungkin "tidak mempunyai pilihan" selain melarang penggunaan alat-alat mobiliti peribadi (PMD) di Singapura jika tingkah laku para pengguna tidak bertambah baik.
Di mahkamah pada Selasa (8 Okt), Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kong Kuek Foo berkata 228 kemalangan melibatkan PMD dilaporkan pada 2017 dan 2018, menyebabkan satu kematian dan 196 kecederaan.
DPP Foo juga menekankan "jelas tindakan segera perlu" untuk menangani penggunaan alat-alat itu secara tidak bertanggungjawab.
Kelakuan Sujendran, khususnya, adalah "keterlaluan", katanya.
DPP Foo juga menarik perhatian bahawa Sujendran tidak mengurangkan kelajuannya meskipun dia menunggang e-skuter yang tidak memenuhi piawai dan pada kelajuan yang berbahaya di laluan awam yang digunakan para pejalan kaki.
Secara lazimnya, Sujendran akan menunggang e-skuter pada kelajuan sekitar 28km/jam dan pada Mei tahun lalu, dia bergerak pada kelajuan itu dalam perjalanan ke rumah setelah meninggalkan Depot Bas Seletar pada pukul 2.30 pagi.
Pada sekitar pukul 3 pagi, sedang dia menghampiri lif di kolong blok Blok 293 Yishun Street 22, Sujendran melanggar Encik Salam di bahagian kaki kanannya dan menyebabkannya terjatuh ke belakang.
Encik Salam yang bekerja untuk pengendali pengangkutan awam Go-Ahead Singapore, dirawat di hospital selama 15 hari setelah hasil imbasan menunjukkan beliau mungkin mengalami keretakan tulang akibat trauma secara fizikal.
Beliau kemudian dimasukkan lagi ke hospital selama 32 hari selepas beliau mengadu sakit berterusan pada bahagian lutut kanan dan betis semasa lawatan susulan ke hospital.
Sujendran yang tidak diwakili peguam meminta diringankan hukuman dan "satu lagi peluang terakhir". Dia memberitahu mahkamah bahawa dia tidak akan lagi menunggang e-skuter.
Namun, Hakim Daerah John Ng bersetuju bahawa dia sepatutnya diberikan hukuman yang diminta oleh DPP Kong dan menjatuhkan hukuman penjara enam minggu ke atasnya.
Oleh kerana menyebabkan kecederaan teruk akibat tindakan terburu-buru, Sujendran boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat tahun atau denda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.