Skip to main content

Singapura

Penunggang basikal elektrik yang digilis lori di Geylang terlindung dari pandangan pemandu

Seorang penunggang basikal elektrik berusia 58 tahun yang mati digilis sebuah kenderaan berat di Geylang dua tahun lalu, berada dalam kawasan yang terlindung daripada pandangan pemandu. Demikian menurut hasil siasatan koroner pada Rabu (23 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Penunggang basikal elektrik yang digilis lori di Geylang terlindung dari pandangan pemandu

Kemalangan berlaku di persimpangan antara Geylang Lorong 13 dengan Sims Avenue. (Gambar: Channel 8 News)

Diterbitkan : 28 Jan 2019 09:44PM Dikemas Kini : 29 Jan 2019 12:11AM

SINGAPURA: Seorang penunggang basikal elektrik berusia 58 tahun yang mati digilis sebuah kenderaan berat di Geylang dua tahun lalu, berada dalam kawasan yang terlindung daripada pandangan pemandu. Demikian menurut hasil siasatan koroner pada Rabu (23 Jan).

Koroner Negara dalam dapatannya menggesa para pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada terhadap kenderaan-kenderaan berat yang mempunyai "banyak kawasan yang terlindung daripada pandangan pemandunya (blind spot)". Polis Trafik juga menyatakan bahawa para penunggang basikal elektrik tidak sepatutnya melintas jalan semasa trafik sedang bergerak.

Mahkamah diberitahu, Encik Lim Chee Hwa sedang menghantar makanan dengan menaiki basikal elektriknya pada 12 Jun 2017.

Pada sekitar 7.00 malam, beliau berada di lorong ketiga jalan raya di persimpangan antara Lorong 13 Geylang dengan Sims Avenue apabila beliau berhenti di hadapan sebuah lori.

Keadaan trafik ketika itu sesak dan memanjang di lorongnya. Apabila sebuah trak di hadapan lori itu bergerak, pemandu lori itu menyusul sama.

Namun, pemandu lori tersebut, Abdul Aziz Amat, tidak melihat Encik Lim yang sedang menunggang basikal elektrik. Beliau memandu terus dan lorinya menggilis Encik Lim. Basikal elektriknya remuk akibat kesan yang begitu kuat.

Aziz berhenti dan turun dari lorinya selepas menyedari tayar kiri kenderaan melanggar sesuatu. Dia juga terdengar beberapa orang memekik kepadanya.

Dia menemui Encik Lim terlantar di jalan raya dengan basikal elektriknya.

Encik Lim disahkan meninggal dunia sekitar 15 minit kemudian oleh pasukan paramedik, sementara Aziz diberkas kerana menyebabkan kematian dengan bertindak terburu-buru.

Tiada kesan brek ditemui di tempat kejadian, mahupun sebarang topi keledar milik mangsa.

Alat mobiliti Encik Lim, yang diluluskan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), rosak teruk dalam kejadian itu. Lori tersebut hanya tergaris di bahagian tepinya.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian Encik Lim adalah pelbagai kecederaan yang dialaminya sewaktu kemalangan itu dengan bukti menunjukkan beliau digilis di bahagian kepala dan dada.

BASIKAL BERGERAK DI CELAH KENDERAAN; PEMANDU LORI TIDAK PERIKSA SEMUA CERMIN

Rakaman CCTV dari sebuah kedai menjual durian berdekatan menunjukkan Encik Lim menyelit di celah-celah kenderaan yang tidak bergerak di Sims Avenue.

Dia berhenti antara lori tersebut dengan sebuah trak untuk memberi laluan kepada kenderaan-kenderaan yang bergerak di lorong keempat.

Menurut ketua pemeriksa Polis Trafik Goh Yong Hua, Encik Lim tidak seharusnya memotong jalan ketika kenderaan lain sedang bergerak.

Beliau juga menambah, adalah tanggungjawab para pemandu kenderaan berat untuk memeriksa kawasan yang terlindung daripada pandangan mereka, terutamanya apabila mereka mula bergerak semula.

Aziz memberitahu mahkamah bahawa dia sudah memeriksa cermin-cermin di bahagian kanan dan kirinya, serta cermin bulat di hadapan lori ketika dia berhenti di belakang sebuah trak, tetapi dia tidak melihat Encik Lim yang sedang menunggang basikal elektriknya.

Namun ketika Aziz mula bergerak semula, dia hanya memeriksa cermin kanan dan bukan cermin bulat, tambahnya.

Analisis 'blind spot' yang dilakukan oleh seorang ahli sains forensik Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendapati Encik Lim hanya dapat dilihat ketika beliau mula menunggang basikal elektriknya di Sims Avenue ke arah Aziz.

"Ini bermakna, beliau tidak dapat dilihat sepenuhnya atau tidak dapat dilihat sama sekali sepanjang masa itu dan umumnya sukar untuk dikesan," kata koroner dalam dapatannya.

Koroner mengesahkan kematian Encik Lim sebagai peristiwa malang di jalan raya.

"Para pemandu dan pejalan kaki harus lebih berhati-hati dengan kenderaan berat ketika menggunakan jalan raya," kata Koroner Negara Kamala Ponnampalam.

"Kenderaan berat umumnya mempunyai 'blind spot' yang besar dan pemandu mungkin tidak dapat melihat anda. Penting bagi memastikan anda memastikan jarak yang tidak terlalu dekat dengan kenderaan-kenderaan ini."

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Encik Lim atas kehilangan anggota keluarga mereka itu. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita