Penunggang basikal elektrik, e-skuter mesti lulus ujian teori online mulai 1 Jan
Mulai 1 Jan 2022, semua pengguna basikal elektrik dan e-skuter mesti lulus ujian teori online sebelum mereka dibenarkan menunggangnya di laluan basikal dan jalan raya bagi e-basikal, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (14 Jun).

Gambar fail basikal bermotor atau e-basikal (Gambar: S Shiva)
SINGAPURA: Mulai 1 Jan 2022, semua pengguna basikal elektrik dan e-skuter mesti lulus ujian teori online sebelum mereka dibenarkan menunggangnya di laluan basikal dan jalan raya bagi e-basikal, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (14 Jun).
"Ini akan meningkatkan tahap kesedaran mengenai peraturan mobiliti aktif, kod tatalaku dan amalan menunggang dengan selamat bagi menyokong landskap mobiliti aktif yang selamat dan berdaya mampan," menurut LTA dalam kenyataan medianya.
Pendaftaran bagi ujian wajib untuk penunggang e-basikal dan e-skuter akan dibuka pada 30 Jun.
Ujian e-basikal akan merangkumi 40 soalan pelbagai pilihan yang mesti dijawab dalam tempoh 40 minit, sementara ujian e-skuter pula akan mempunyai 30 soalan pelbagai pilihan dengan masa 30 minit diberikan untuk menyelesaikannya.
Mereka yang menduduki ujian tersebut mesti memperolehi markah sekurang-kurangnya 80 peratus untuk lulus. Jika lulus, mereka akan menerima sijil digital tanpa tarikh luput.
Mulai 1 Jan, mereka perlu menunjukkan sijil apabila diminta oleh pegawai penguat kuasa. Tempoh peralihan selama enam bulan sehingga 31 Disember akan diberikan kepada para penunggang untuk menyelesaikan ujian tersebut sebelum ia dikuatkuasakan, tambah LTA.
"Kami menggalak para penunggang untuk mendaftar dan mendapatkan sijil secepat mungkin, setelah pendaftaran dibuka pada 30 Jun 2021," tambah LTA.
YURAN UJIAN, PENDAFTARAN
Kos ujian tersebut adalah S$10 bagi setiap percubaan. Mereka yang mendaftar untuk menjalani ujian antara 30 Jun hingga 30 September akan membayar yuran lebih rendah, iaitu S$5, dengan satu percubaan semula secara percuma sekiranya mereka gagal pada kali pertama.
Hasil ujian boleh diakses melalui laman Akademi Profesional dan Pendidikan Berterusan Politeknik Singapura.
Ujian dan juga buku panduan elektronik sebagai persiapan untuk menduduki ujian tersebut turut disediakan dalam bahasa Inggeris, Cina, Melayu dan Tamil.
Untuk menduduki ujian, penunggang mesti mendaftar untuk akaun di portal ujian teori menggunakan SingPass mereka selewat-lewatnya sehari sebelum menduduki ujian tersebut.
Peserta ujian mestilah berusia sekurang-kurangnya 16 tahun, iaitu usia minimum yang dibenarkan untuk menggunakan alat mobiliti aktif.
Mereka yang berusia bawah 16 tahun boleh menunggang e-skuter di bawah pengawasan orang dewasa dan orang dewasa yang mengawasinya pula perlu lulus ujian tersebut, tambah LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.