Penumpang tidak pakai pelitup tidak dibenarkan naik pengangkutan awam, teksi & kereta sewa
Para penumpang tidak akan dibenarkan menaiki bas, kereta api, teksi dan kereta sewa jika mereka tidak memakai pelitup, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Para penumpang tidak akan dibenarkan menaiki bas, kereta api, teksi dan kereta sewa jika mereka tidak memakai pelitup, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Pemerintah mengumumkan pada Selasa (14 Apr) bahawa setiap orang diwajibkan memakai pelitup apabila keluar rumah bagi membendung penularan COVID-19.
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, LTA menyatakan ia kini menjadi kewajipan setiap penumpang untuk memakai pelitup sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, yang berkuat kuasa hingga 4 Mei, apabila menaiki pengangkutan awam dan kereta sewa privet.
Para penumpang juga diwajibkan memakainya apabila berada di tempat-tempat seperti perhentian bas, pusat pertukaran bas dan stesen MRT.
"Para penumpang juga diingatkan supaya membawa pelitup mereka sendiri dan memakainya setiap masa. Duta Pengangkutan dan pekerja pengangkutan awam seperti para pemandu bas akan mengingatkan para penumpang supaya berbuat demikian," tambah LTA.
"Jika seseorang penumpang gagal mematuhi arahan, mereka tidak akan dibenarkan menaiki pengangkutan itu. Para pemandu teksi dan khidmat kereta sewa juga boleh menolak penumpang yang tidak memakai pelitup."
Dalam peringatannya kepada orang ramai pada Rabu (15 Apr), Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli berkata setiap orang diwajibkan memakai pelitup apabila keluar rumah. Peraturan itu dikuatkuasakan pada Selasa (14 Apr) dengan langkah-langkah penguatkuasaannya bermula pada Khamis (16 Apr).
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.