Skip to main content

Singapura

Penumpang SIA, SilkAir wajib pakai pelitup, patuh jarak selamat dalam pesawat

Para penumpang pesawat Singapore Airlines (SIA) dan anak syarikatnya SilkAir tidak lama lagi akan diwajibkan memakai pelitup dalam pesawat sebagai sebahagian daripada langkah-langkah baru bagi membendung pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 May 2020 02:25PM Dikemas Kini : 10 May 2020 09:02PM

SINGAPURA: Para penumpang pesawat Singapore Airlines (SIA) dan anak syarikatnya SilkAir tidak lama lagi akan diwajibkan memakai pelitup dalam pesawat sebagai sebahagian daripada langkah-langkah baru bagi membendung pandemik COVID-19.

Mulai 11.59 malam ini (10 Mei), semua penumpang SIA dan SilkAir mesti membawa pelitup sendiri apabila menaiki pesawat dan memakainya sepanjang tempoh penerbangan, menurut makluman di laman web SIA pada Sabtu (9 Mei).

Para penumpang juga perlu mematuhi langkah jarak selamat ketika naik dan turun pesawat dan semasa beratur untuk menggunakan tandas.

Ini sejajar dengan arahan oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), jelas syarikat penerbangan itu.

SIA turut mengumumkan beberapa langkah lain untuk penerbangan-penerbangan tertentu.

Para penumpang yang melakukan perjalanan ke Singapura perlu menjalani penilaian kesihatan asas sebelum menaiki kapal terbang, termasuk perisytiharan mengenai tahap kesihatan mereka secara lisan dan pemeriksaan suhu badan, menurut syarikat penerbangan itu.

Hidangan dalam pesawat juga akan digantung bagi penerbangan di Asia Tenggara dan khidmat penerbangan ke China. Para penumpang sebaliknya akan diberikan beg yang mengandungi makanan ringan dan minuman semasa menaiki pesawat.

Semua penerbangan lain bagaimanapun akan disediakan dengan makanan.

"Langkah-langkah ini adalah tambahan kepada langkah-langkah pencegahan sedia ada oleh SIA dan SilkAir untuk memelihara kesejahteraan dan menjaga keselamatan para pelanggan dan anak kapal kami," menurut SIA.

Langkah-langkah lain termasuk penggantungan khidmat tuala panas dan menggantung kad menu dan bahan bacaan di tempat duduk seperti majalah bagi semua penerbangan.

Para anak kapal dan juruterbang juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum melakukan penerbangan dan tidak dibenarkan bekerja jika tidak sihat, menurut SIA. Mereka juga dikehendaki memakai pelitup dan gogal atau pelindung mata semasa penerbangan.

Di samping itu, pesawat perlu menjalani "proses pembersihan yang menyeluruh" dan dilengkapi dengan alat penapis udara dengan kecekapan tinggi (HEPA).


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita