Skip to main content

Singapura

Penumpang Scoot terkandas di Bangkok selama 29 jam gara-gara masalah teknikal pesawat

Para penumpang Scoot di Bangkok yang seharusnya berangkat ke Singapura pada Isnin (26 Nov) terkandas selama 29 jam selepas pesawat mengalami masalah-masalah teknikal.

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang Scoot terkandas di Bangkok selama 29 jam gara-gara masalah teknikal pesawat

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 27 Nov 2018 12:53AM Dikemas Kini : 27 Nov 2018 12:55AM

SINGAPURA: Para penumpang Scoot di Bangkok yang seharusnya berangkat ke Singapura pada Isnin (26 Nov) terkandas selama 29 jam selepas pesawat mengalami masalah-masalah teknikal.

Penerbangan TR869 dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada Isnin (26 Nov), jam 4.25 petang. Namun, jadual penerbangan ditukar kepada jam 10.10 malam keesokan harinya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Scoot menyatakan bahawa pesawatnya dijadualkan berlepas dari Tokyo, menuju Singapura, melalui Bangkok pada Isnin apabila ia mengalami masalah teknikal.

"Para jurutera secepatnya menjalankan kerja-kerja pembaikan, tetapi atas faktor masa yang diperlukan, kami memutuskan untuk menangguhkan penerbangan," menurut Scoot.

"Penerbangan TR869 selanjutnya dijadualkan untuk berlepas pada 27 Nov, jam 3.50 petang (waktu tempatan). (Scoot mencuba sedaya upaya) membantu para penumpang terjejas untuk menaiki penerbangan lain ke Singapura, iaitu penerbangan TR899, melalui Taipei.

"Sementara itu, penginapan dan makanan bagi para penumpang lain yang terjejas sudah diatur seperti sepatutnya."

Insiden ini berlaku sehari selepas penerbangan Scoot dari Singapura ke Bangkok tertangguh selama hampir tujuh jam akibat masalah teknikal.

JADUAL PENERBANGAN DITUKAR 2 KALI

Seorang penumpang, yang enggan dinamakan, berkata beliau dan keluarga dalam perjalanan ke Singapura dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada Isnin.

Beliau berkata suaminya, yang melancong bersamanya, pada awalnya mendapat emel pada jam 11.00 pagi bagi memaklumkan bahawa jadual penerbangan ditukar dari jam 4.25 petang kepada 6.50 petang keesokan harinya.

Mereka kemudian mendapat satu lagi emel sekitar setengah jam kemudian, yang memaklumkan bahawa waktu berlepas sekali lagi ditukar kepada 10.10 malam Selasa (27 Nov).

"Scoot menjelaskan tentang adanya masalah teknikal tetapi tidak memberikan butiran lanjut. Kami diberitahu bahawa kami akan dipindahkan ke sebuah hotel dan diberikan penginapan dan makanan percuma," katanya.

Beliau selanjutnya berkata bahawa terdapat sekitar 100 penumpang terjejas yang diberikan penginapan di Ibis Bangkok Impact, sebuah hotel di wilayah Nonthaburi. Tiada makanan disediakan.

Beliau menambah, Scoot sudah mengaturkan satu bas untuk membawa semua penumpang terjejas ke lapangan terbang pada jam 5.00 petang, tetapi beliau menyuarakan keprihatinan tentang perlu daftar keluar hotel sebelum jam 1.00 petang, sebagaimana ditetapkan pihak hotel.

"Kami tidak diberi pilihan lain untuk menempah pilihan pengangkutan alternatif... dan kerana penerbangan kami ditangguhkan, saya dan suami perlu mengambil tambahan dua hari cuti," katanya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita