Skip to main content

Singapura

Penumpang Scoot akhirnya tiba di S'pura selepas penerbangan tertangguh 56 jam

Para penumpang Scoot yang terkandas di Athens selama hampir tiga hari selepas penerbangan ditangguhkan 56 jam, berasa lega setibanya mereka di Singapura hari ini (21 Dis). Namun, mereka meluahkan kemarahan tentang cara syarikat penerbangan itu mengendalikan situasi di Greece.

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang Scoot akhirnya tiba di S'pura selepas penerbangan tertangguh 56 jam

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 21 Dec 2018 11:43PM Dikemas Kini : 21 Dec 2018 11:45PM

SINGAPURA: Para penumpang Scoot yang terkandas di Athens selama hampir tiga hari selepas penerbangan ditangguhkan 56 jam, berasa lega setibanya mereka di Singapura hari ini (21 Dis). Namun, mereka meluahkan kemarahan tentang cara syarikat penerbangan itu mengendalikan situasi di Greece.

Penerbangan TR713 Scoot dijadualkan berlepas dari Athens pada Selasa, jam 11.20 pagi waktu tempatan (jam 5.20 petang waktu Singapura). Terdapat 321 penumpang, termasuk beberapa keluarga Singapura, dalam pesawat.

Namun, penerbangan ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga kali dan akhirnya berlepas dari Athens pada Khamis, jam 7.00 malam waktu tempatan, dan tiba di Singapura hari ini (21 Dis) pada sekitar 12.00 tengah hari.

Para penumpang dan anggota keluarga mereka, yang ditemui Mediacorp tetapi enggan dinamakan, berkata bahawa kurang adanya komunikasi antara Scoot dengan para penumpang terjejas.

"Kami tidak dapat bercakap secara langsung dengan Scoot, ketika kami di sana, kami hanya dapat menghubungi seorang wanita asal Greece," kata seorang penumpang, yang berada di Athens untuk bercuti bersama suami dan anaknya yang berusia 13 bulan. "Hanya ada anak kapal dalam pesawat dan sebaik sahaja kami keluar (dari pesawat), tiada lagi yang dilakukan."

Para penumpang diminta turun naik pesawat sebanyak tiga kali dalam tempoh dua hari. Mereka mengadu dibiarkan tidak tahu-menahu tentang apa yang sedang berlaku.

"Keadaan di Athens menjadi bercelaru," kata seorang lagi penumpang, yang bekerja di Greece dan merancang untuk pulang ke Singapura untuk meluangkan masa bersama keluarganya. "Para pegawai di sana paling terjejas kerana ramai yang marah, terpekik-pekik, meminta-minta baucar makanan dan ingin tahu apa yang sedang berlaku."

Kata seorang wanita yang berada di lapangan terbang untuk menjemput anaknya: "Tidak lama lagi kita akan sambut Krismas, iaitu saat anda berkumpul bersama keluarga. Kini masa kami untuk meluangkan masa bersama terjejas."

"Saya ada penerbangan balik dengan Scoot, tetapi selepas itu, saya tidak lagi akan naik pesawat Scoot," tambah anak perempuannya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Scoot mengesahkan bahawa di bawah peraturan-peraturan Eropah, para pelanggan terjejas berhak mendapat pampasan bernilai €600 (S$940).

Dokumen-dokumen pampasan dikirimkan kepada para pelanggan menerusi kiriman emel. Salinannya juga diberikan setibanya para penumpang tiba di Singapura, tambah Scoot.

"Bagi para penumpang terjejas yang ketinggalan penerbangan sambung dari Singapura, Scoot sudah membuka beberapa kaunter khas di Singapura untuk membantu mereka mengatur penerbangan alternatif," menurut kenyataan itu lagi.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita