Penumpang S'pura terkandas 2 hari di Greece selepas penerbangan Scoot ditangguhkan
Para penumpang bagi penerbangan Scoot ke Singapura, terkandas selama lebih dua hari di Greece. Akibat masalah teknikal, para penumpang terpaksa naik turun pesawat berulang kali.

Para penumpang, termasuk rakyat Singapura, terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens pada 19 Dis disebabkan penerbangan yang ditangguhkan. (Gambar: Pembaca Mediacorp)
SINGAPURA: Para penumpang bagi penerbangan Scoot ke Singapura, terkandas selama lebih dua hari di Greece. Akibat masalah teknikal, para penumpang terpaksa naik turun pesawat berulang kali.
Pesawat Scoot TR713 seharusnya berangkat dari Athens pada 11.20 pagi waktu tempatan pada 18 Dis. Terdapat 321 penumpang, termasuk beberapa keluarga Singapura bagi penerbangan tersebut.
Penerbangan ditangguhkan tiga kali. Namun, ia kini dijadual berlepas dari Athens pada 20 Dis, jam 1.05 tengah hari waktu tempatan (20 Dis, 7.05 malam), menurut Scoot kepada Mediacorp.
Dalam kenyataan medianya, Scoot menjelaskan bahawa para penumpang diminta turun dari pesawat Boeing 787 berkenaan selepas ia mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan untuk menghuraikan "pertimbangan operasi dek keterbatasan peralatan".

(Gambar-gambar: Pembaca Mediacorp)
Sebaik sahaja isu itu ditangani, para penumpang menaiki pesawat sekali lagi tetapi diminta meninggalkan pesawat buat kali kedua kerana "waktu bekerja anak kapal malangnya melampaui batas yang ditetapkan".
"Ekoran itu, penerbangan perlu ditangguhkan. Jadual penerbangan ditukar sekali lagi kepada jam 11.00 pagi waktu tempatan pada 19 Dis. Sepanjang penangguhan, tempat penginapan dan makan minum disediakan bagi para penumpang," menurut Scoot.
Apabila para penumpang kembali pada Rabu dan persediaan bagi penerbangan sedang dilakukan, "Scoot diberitahu bahawa pesawat tidak mendapat kelulusan untuk berangkat."
"Maka itu, para penumpang malangnya terpaksa turun dari pesawat. Scoot kemudian memutuskan untuk mengerahkan pesawat dari Singapura ke Athens untuk membawa para penumpang TR713 yang terjejas kembali ke Singapura," tambah syarikat itu.
Dalam pada itu, Scoot menambah, tempat penginapan serta makan minum diaturkan bagi para penumpang di Athens sementara mereka menunggu penerbangan baru diaturkan.

"Scoot benar-benar memohon maaf atas kejadian yang menjejas rancangan pelancongan para penumpamg," menurut Scoot.
"Para penumpang terjejas boleh meminta supaya wang mereka dikembalikan dalam bentuk baucar atau bayaran lain, sekiranya mereka memilih untuk tidak melanjutkan penerbangan dengan Scoot. Para penumpang yang memutuskan sebaliknya akan diberikan pampasan, seperti yang dijanjikan (Guest Promise)."
BEBERAPA KELUARGA SINGAPURA ANTARA YANG TERKANDAS
Seorang pembaca Mediacorp berkata bahawa beberapa keluarga Singapura terjejas dengan kelengahan itu.
"Terdapat ramai keluarga Singapura yang terkandas di Lapangan Terbang Athens. Kami seharusnya menaiki pesawat Scoot TR713 yang dijadualkan berangkat pada 18 Dis, jam 11.20 pagi untuk kembali ke Singapura. Namun, setakat 19 Dis, kami semua masih terkandas di lapangan terbang. Sudah lebih 24 jam (kami berada di sini)," kata seorang pembaca.

"Anak kapal memberi banyak alasan mengapa penerbangan ditangguhkan. Terakhir kali, kami diberitahu mereka tidak mendapat izin dari pihak lapangan terbang Athens," tambah pembaca itu.
“Semalam kami menaiki pesawat, menunggu selama empat jam, turun dan menunggu beberapa jam dan kemudian (kakitangan) berkata kami boleh menaiki (pesawat) sekali lagi,” kata pembaca.
Satu notis penangguhan penerbangan yang diterima pembaca menyatakan bahawa penerbangan ditangguhkan kerana "masalah teknikal".
Beberapa penumpang mengadu menerusi kiriman Twitter tentang komunikasi "yang tidak lengkap dan menghampakan". Penangguhan penerbangan Scoot turut menyebabkan beberapa penumpang ketinggalan penerbangan lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.