Penumpang rungut hadapi masalah naik taraf kad EZ-Link ke wadah SimplyGo
Antara isu yang dihadapi oleh para penumpang yang cuba menaik taraf kad EZ-Link mereka kepada wadah SimplyGo adalah kemas kini yang gagal dilakukan, sekali gus menyebabkan kad tidak lagi boleh digunakan dan masa pemprosesan lebih lama daripada yang dijangkakan.
(Gambar: CNA)
Apabila Mediacorp melakukan kunjungan ke stesen MRT City Hall pada waktu tengah hari tadi (12 Jan), beberapa individu kelihatan menggunakan mesin tiket untuk menaik taraf kad masing-masing.
Ada yang berjaya dan hanya berdepan isu-isu kecil, tetapi salah seorang daripadanya gagal berbuat demikian.
Seorang penumpang yang berang memberitahu Mediacorp bahawa beliau gagal menaik taraf kadnya meskipun telah mencuba di dua stesen berbeza.
"Saya cuba menaik taraf dua kad di mesin-mesin yang berlainan, satu di sini dan satu di Commonwealth, kedua-duanya gagal.
"Jika anda mahu kita naik taraf kad masing-masing, tolong pastikan mesin ini berfungsi lebih baik. Jangan buang masa," katanya sebelum bergegas untuk ke tempat kerja tanpa mendedahkan namanya.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada Selasa lalu (9 Jan) bahawa kad dewasa EZ-Link dan kad NETS Flashpay tidak lagi boleh digunakan mulai 1 Jun.
Ia perlu dinaik taraf kepada kad EZ-Link SimplyGo atau ditukar kepada kad Prabayar NETS.
Seorang pegawai Cisco, Encik Siddiq berkongsi beliau mendapat tiga resit yang menyatakan percubaannya gagal sebelum kadnya dapat dinaik taraf.
"Anda perlu biarkan sahaja. Ramai orang yang tidak tahu, kemudian mereka terus berlalu pergi," katanya.
Apabila wartawan Mediacorp cuba menaik taraf kad EZ-Link kadnya, ia mengambil masa sekitar dua minit sebelum mesin itu menyatakan percubaan untuk naik taraf gagal.
Resit itu menyatakan: "Anda mungkin tidak boleh menggunakan kad anda kerana proses naik taraf ke SimplyGo tidak selesai. Sila sambung semula proses naik taraf ke SimplyGo atau pergi ke Pejabat Tiket TransitLink untuk mendapatkan bantuan."
Mediacorp telah pun menghubungi LTA bagi mendapatkan komen mengenai isu naik taraf ke SimplyGo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.