Skip to main content

Singapura

Penumpang Laluan Timur Laut naik MRT percuma di luar waktu sibuk sebelah pagi mulai 27 Dis

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Oct 2025 06:11PM Dikemas Kini : 18 Oct 2025 10:42PM
SINGAPURA: Mulai 27 Disember, para penumpang di kawasan timur laut Singapura yang memulakan perjalanan di stesen-stesen MRT terpilih di luar waktu sibuk pada hari biasa, iaitu sebelum pukul 7.30 pagi atau antara pukul 9.00 pagi dengan 9.45 pagi, tidak perlu membayar tambang.

Semuanya di bawah satu projek perintis yang dijalankan selama setahun.

Program perintis itu merangkumi keenam-enam stesen MRT di Laluan Timur Laut antara Punggol Coast dengan Kovan; dan stesen-stesen LRT Sengkang Punggol.

Perkara tersebut diumumkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Sabtu (18 Okt).

Selain itu, mulai 27 Disember juga, program sedia ada yang membolehkan penumpang di kawasan timur laut menikmati penjimatan tambang akan dipertingkatkan sekali lagi, kali ini ia menawarkan proses pendaftaran lebih mudah dan lebih banyak ganjaran.

LTA menyatakan langkah-langkah itu akan membantu "menyederhanakan permintaan perjalanan" pada waktu sibuk di sebelah pagi di kawasan itu, dan meningkatkan pengalaman semua penumpang.

LTA juga menambah bahawa stesen-stesen MRT sepanjang Laluan Timur Laut dan LRT Sengkang Punggol dipilih kerana ia merupakan "kawasan paling sibuk" semasa waktu sibuk di sebelah pagi.

Perubahan tersebut bertepatan dengan kenaikan tambang pengangkutan awam sebanyak 5 peratus mulai 27 Disember. Ia diumumkan lebih awal minggu ini oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC), dengan mengambil kira pertimbangan seperti peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan rangkaian pengangkutan awam.
PERJALANAN PERCUMA MRT DI LUAR WAKTU SIBUK PADA SEBELAH PAGI

Tiada pendaftaran diperlukan bagi skim yang menawarkan perjalanan MRT secara percuma.

Para penumpang hanya perlu mengimbas kad tambang atau menggunakan kaedah pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari stesen MRT tersebut.

Tambang percuma itu hanya bagi perjalanan MRT pertama dalam perjalanan penumpang tersebut.

Sebelum ini, pihak berkuasa sudah pun menjalankan uji cuba yang menawarkan perjalanan MRT secara percuma atau penjimatan tambang bagi perjalanan yang dilakukan di luar waktu sibuk.

Pada 2013, skim perjalanan percuma MRT ditawarkan kepada penumpang yang mengimbas kad tambang di stesen-stesen MRT terpilih di pusat bandar sebelum pukul 7.45 pagi.

Terdapat satu inisiatif pas bulanan bagi perjalanan di luar waktu sibuk pada 2015, yang membolehkan para penumpang melakukan perjalanan tanpa had dengan menaiki rangkaian bas dan MRT pada waktu yang ditetapkan.

Kedua-dua inisiatif itu dihentikan pada hujung tahun 2017 dan digantikan dengan skim sedia ada, di mana penumpang boleh meraih penjimatan tambang sehingga S$0.50 jika mereka memasuki mana-mana stesen MRT atau LRT sebelum pukul 7.45 pagi pada hari biasa.

"Melalui skim ini, kami berharap dapat meratakan permintaan perjalanan dan mengoptimumkan kecekapan rangkaian pengangkutan awam kami," kata LTA pada Sabtu.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan memantau keberkesanan skim baharu sebelum membuat keputusan mengenai sebarang penyesuaian pada masa depan, seperti kemungkinan semakan masa akhir untuk kelayakan atau lanjutan untuk laluan kereta api lain.

LTA menyatakan ia akan menggunakan pendekatan berasaskan data dalam membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Ini termasuk mengkaji kesan terhadap jumlah penumpang di Laluan Timur Laut dan laluan LRT Sengkang Punggol.

Pada Januari hingga September, jumlah penumpang yang berada di Laluan Timur Laut setiap jam sebelum pukul 7.30 pagi pada hari biasa adalah kira-kira 45 peratus lebih rendah berbanding dengan tempoh antara pukul 7.30 pagi dengan 9.00 pagi.

Jumlah penumpang di Laluan Timur Laut selepas pukul 9.00 pagi pula kira-kira 40 peratus lebih rendah berbanding antara pukul 7.30 pagi hingga 9.00 pagi.

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata skim perjalanan percuma MRT pada tahun 2013 mencapai peralihan 7 peratus dalam perjalanan kereta api pada waktu sibuk di sebelah pagi.

"Jika kita boleh mencapai peralihan yang serupa kali ini, kita akan dapat menghasilkan pengalaman penumpang yang lebih selesa bagi mereka yang menggunakan Laluan Timur Laut."

MENINGKATKAN PERJALANAN PINTAR

Perubahan juga sedang dilaksanakan bagi program Travel Smart Journeys (perjalanan bijak), yang mula dilancarkan sebagai uji cuba pada 2020 untuk mengurangkan kesesakan MRT pada waktu sibuk di Laluan Timur Laut dengan menggalakkan penumpang mengambil perkhidmatan bas ekspres terpilih sebagai alternatif.

Ia diperluaskan pada tahun 2023 untuk merangkumi lebih banyak bas yang menggunakan laluan ekspres antara kawasan perumahan dan bandar; dan ditingkatkan pada Januari dengan peningkatan diskaun sehingga 80 peratus bagi tambang pengangkutan.

Untuk menyertai program tersebut buat masa ini, penumpang perlu mengimbas kad tambang apabila memasuki mana-mana stesen MRT Laluan Timur Laut antara Punggol Coast dengan Kovan, atau mana-mana stesen di sepanjang laluan LRT Punggol dan Sengkang. Mereka perlu melakukan demikian antara pukul 7.15 pagi dan 8.45 pagi selama sekurang-kurangnya enam hari biasa sepanjang tempoh 30 hari.

Kriteria itu akan dihapuskan mulai 27 Disember. Semua penumpang layak menyertai skim itu sebaik sahaja mereka mendaftar menggunakan aplikasi SimplyGo.

LTA memberitahu Mediacorp perubahan itu dilakukan menyusuli satu kajian semula, yang membawa kepada pengiktirafan "bahawa jumlah peserta yang lebih luas dapat bantu mengurangkan kesesakan pada waktu sibuk di sebelah pagi dan dengan kelayakan yang diperluaskan ia membolehkan lebih ramai penumpang meraih manfaat daripada
skim ini".

Berhubung sebab mengapa pendaftaran bagi skim itu masih perlu dilakukan menerusi aplikasi, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan "sistem kami perlu menjejaki perjalanan penumpang sepanjang keseluruhan tempoh perjalanan mereka untuk menentukan kelayakan dan mengira ganjaran untuk perjalanan lengkap sebelum memberikan mereka ganjaran sewajarnya".

Perubahan lain yang berkuat kuasa mulai 27 Disember ini termasuk mengalihkan tempoh kelayakan bagi perjalanan di luar waktu sibuk dari sebelum pukul 7.15 pagi kepada sebelum pukul 7.30 pagi - untuk menyelaraskannya dengan masa bermulanya skim perjalanan percuma MRT di luar waktu sibuk.


Selain itu, ganjaran bagi perjalanan MRT selepas waktu sibuk akan diseragamkan kepada 80 peratus bagi perjalanan MRT antara pukul 9.00 pagi dengan 9.45 pagi, berbanding 40 peratus bagi mereka yang menaiki MRT antara pukul 9.31 pagi dengan 9.45 pagi.

Perjalanan yang bermula antara pukul 8.45 pagi dengan 8.59 pagi pula tidak lagi layak untuk ganjaran itu.

Program itu terus menggunakan sistem di mana mata terkumpul boleh ditebus mengikut blok 500, bersamaan dengan S$5.

Kredit itu akan disalurkan ke dalam kad perjalanan pilihan penumpang.

Akhir sekali, program Travel Smart Journeys (perjalanan bijak) akan diperluaskan untuk meliputi lima perkhidmatan bas langsung ke bandar - iaitu bas yang mengambil laluan ekspres antara kawasan perumahan dan bandar di waktu sibuk pada hari biasa - di daerah timur laut, mulai pertengahan Disember ini.

Khidmat-khidmat bas baharu itu akan menghubungkan para penduduk di Hougang, Sengkang dan Punggol ke kawasan seperti Daerah Pusat Perniagaan (CBD) dan Orchard.

Lebih banyak butiran akan diumumkan pada November, tambah LTA.

Perkhidmatan bas sedia ada iaitu bas nombor 43e dan khidmat bas langsung ke bandar 654, 660, 660M, 666, 671, 672, 673, 675, 676, 677 dan 678 masih layak untuk ganjaran di bawah program Travel Smart Journeys.

Sejak pelancaran program Travel Smart Journeys yang dipertingkatkan pada 2 Januari lalu, LTA menyatakan ia menerima kira-kira 37,000 permohonan — di mana kira-kira 11,000 peserta memenuhi kriteria kelayakan setakat hujung September.

Setakat hujung bulan lalu, kira-kira 8,000 penumpang sama ada mengubah masa perjalanan mereka di Laluan Timur Laut atau bertukar untuk mengambil khidmat bas langsung ke bandar sekurang-kurangnya sekali sejak program itu dilancarkan.

Daripada jumlah itu, kira-kira 23 peratus menukarkan masa perjalanan mereka di Laluan Timur Laut kepada sebelum pukul 7.15 pagi, manakala 30 peratus menukar waktu perjalanan mereka kepada selepas waktu sibuk iaitu antara pukul 8.45 pagi dengan 9.45 pagi.

Lagi 28 peratus mengamalkan gabungan perjalanan semasa dan selepas waktu sibuk.

Selain itu, lagi 6 peratus memanfaatkan perkhidmatan bas yang layak untuk skim itu, manakala 13 peratus menggunakan kedua-dua alternatif - di mana mereka menukar masa perjalanan di Laluan Timur Laut kepada selepas waktu sibuk dan kemudian menaiki perkhidmatan bas.

 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita