Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penumpang dalam kapal persiaran World Dream diuji bagi COVID-19, diberi pelayaran percuma

Semua penumpang dalam kapal persiaran Dream Cruises perlu menjalani ujian COVID-19, setelah seorang penumpang dalam kapal itu diuji positif bagi koronavirus, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Rabu (14 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang dalam kapal persiaran World Dream diuji bagi COVID-19, diberi pelayaran percuma

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 14 Jul 2021 06:35PM Dikemas Kini : 14 Jul 2021 06:36PM

SINGAPURA: Semua penumpang dalam kapal persiaran Dream Cruises perlu menjalani ujian COVID-19, setelah seorang penumpang dalam kapal itu diuji positif bagi koronavirus, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Rabu (14 Jul).

Penjejakan kontak sedang dijalankan dan penumpang akan dibenarkan turun kapal apabila penjejakan kontak bagi kes positif itu selesai dijalankan, kata pengarah kapal persiaran STB Annie Chang.

Kontak rapat kepada kes COVID-19 itu akan dikenakan perintah kuarantin.

"Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, semua penumpang juga perlu memantau kesihatan mereka selama 14 hari dari tarikh mereka turun kapal dan menjalani ujian swab di kemudahan khusus ujian swab pemerintah pada akhir tempoh pemantauan," katanya.

Penumpang hanya dibenarkan untuk meninggalkan Pusat Persiaran Marina Bay setelah mengambil ujian pantas antigen (ART) wajib di samping anak kapal, yang sudah pun menjalani ujian rutin berjadual setiap tujuh hari.

Kerja-kerja pembersihan menyeluruh turut akan dijalankan di kapal itu, kata Cik Chang.

PELAYARAN PERCUMA BAGI SEMUA PENUMPANG

Dalam pengumuman yang dibuat oleh kapten kapal itu pada pukul 2.00 petang tadi (4 Jul), penumpang dimaklumkan bahawa mereka akan menerima pelayaran percuma bersama World Dream "berdasarkan tempahan yang telah dibuat".

Surat pelayaran percuma itu akan diberikan dalam masa 14 hari ini, menurut kapten kapal.

Dalam satu pengumuman susulan pada pukul 4.00 petang, kapten itu mengesahkan seorang tamunya positif COVID-19 dan penumpang boleh turun dari kapal bermula lewat petang Rabu, tertakluk kepada kelulusan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes COVID-19 itu akan turun kapal melalui laluan berasingan dan diasingkan daripada penumpang yang lain, katanya.

Penumpang akan menerima makluman kesihatan MOH, selain pelekat pengenalan yang mengandungi butiran peribadi mereka bagi ujian susulan COVID-19.

Mereka juga akan dimaklumkan jika berlaku sebarang penangguhan dalam proses turun kapal, dan hidangan akan disediakan sepanjang tempoh mereka berada di atas kapal.

Kapal persiaran World Dream, yang membawa 1,646 penumpang dan 1,249 anak kapal, berlepas dari Singapura pada pukul 9.00 malam Ahad lalu (11 Jul) bagi "pelayaran tanpa destinasi" selama empat hari.

Ia kembali ke Pusat Persiaran Marina Bay pada sekitar 6.30 pagi tadi setelah seorang penumpang diuji positif COVID-19. Penumpang itu dikenal pasti sebagai kontak rapat kes disahkan di darat.

Sehingga tengah hari Rabu, Singapura melaporkan 56 kes tempatan baru COVID-19, dengan 41 dikaitkan dengan kelompok KTV.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan