Skip to main content

Singapura

Penumpang cedera selepas botol dibaling ke arah bas di Orchard Road

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang cedera selepas botol dibaling ke arah bas di Orchard Road

Gambar yang dimuat naik ke aplikasi media sosial Xiaohongshu memaparkan sebuah bas dua tingkat dengan cermin yang retak di Orchard Road pada 5 Julai 2025. (Photo: Gambar/是cc啊)

Diterbitkan : 06 Jul 2025 09:33PM Dikemas Kini : 06 Jul 2025 09:34PM
SINGAPURA: Seorang wanita mengalami kecederaan pada Sabtu (5 Jul) selepas sebuah botol dibaling ke arah bas yang dinaikinya, menurut SMRT pada Ahad.

Khidmat bas 190 sedang melakukan perjalanan di Orchard Road pada sekitar 6.45 petang apabila seorang individu membaling botol ke arah kenderaan itu, menyebabkan cermin kaca depan bas itu retak, dedah timbalan pengarah urusan SMRT Buses Vincent Gay.

"Kapten bas menghentikan bas dengan selamat dan memeriksa para penumpang.

"Semua penumpang terjejas dialihkan dengan selamat ke bas yang lain bagi meneruskan perjalanan mereka," kata beliau, sambil menambah bahawa seorang penumpang wanita mengalami kecederaan.

Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan seorang wanita berusia 57 tahun dibawa dalam keadaan sedar ke Hospital Raffles.

Beberapa gambar berhubung insiden itu yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan sebuah bas bertingkat diletakkan di luar The Heeren dengan cermin tingkap yang retak di bahagian kiri tingkat atas.

Lubang juga dilihat pada cermin tingkap itu.

SMRT menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dalam siasatan polis.
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita