Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Changi perlu bayar yuran, cukai lebih tinggi mulai 1 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Sep 2022 07:51PM Dikemas Kini : 15 Sep 2022 08:42PM
SINGAPURA: Mulai 1 November, penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Changi perlu membayar yuran dan cukai lapangan terbang lebih tinggi sedang industri penerbangan terus pulih daripada pandemik COVID-19.

Penumpang kini membayar yuran S$52.30 - termasuk yuran perkhidmatan dan keselamatan penumpang (PSSF) berjumlah S$35.40, levi penerbangan sebanyak S$6.10 dan levi pembangunan lapangan terbang berjumlah $10.80.

Mulai 1 November hingga 31 Mac depan, jumlahlah meningkat kepada S$59.20 selepas yuran perkhidmatan penumpang dan keselamatan naik kepada S$40.40 manakala levi penerbangan meningkat kepada S$8.

Yuran perkhidmatan penumpang dan keselamatan akan dinaikkan lagi secara bertahap-tahap dari 1 Apr 2023 dan 1 Apr 2024.

Mengumumkan yuran baru itu pada Khamis (15 Sep), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG) menyatakan kenaikan tersebut telah diumumkan pada 2018, tetapi pelaksanaannya ditangguh kerana pandemik COVID-19.

Kali terakhir cukai penerbangan dinaikkan 13 tahun lalu.

Levi penerbangan itu digunakan bagi menampung biaya pembangunan hab penerbangan dan tugas kawal selia CAAS, menurut pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan media sambil menambah bahawa fungsi penguasa penerbangan berkenaan dijangka bertambah sedang ia membangunkan semula kedudukan Singapura sebagai hab udara global pasca pandemik.

Penumpang, yang tiket penerbangan mereka dikeluarkan sebelum 1 Nov 2022, tidak perlu membayar yuran dan levi yang tinggi.

"Yuran yang dikenakan bagi Pendaratan, Meletak Pesawat dan Aerobridge (LPA) bagi semua penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Changi akan naik 2 peratus pada 1 Nov 2022, dan bertambah 1 peratus lagi setiap tahun pada 1 Apr 2023 dan 1 Apr 2024, seperti yang diumumkan sebelum ini," kata pihak berkuasa berkenaan.

"Selain menyokong operasi CAG, yuran yang dikenakan PSSF dan LPA juga disalurkan bagi rancangan pembangunan dan kerja-kerja naik taraf infrastruktur terminal sedia ada, yang mana sudah diteruskan sepanjang pandemik."

Di tengah-tengah pemulihan perjalanan, Lapangan Terbang Changi membuka semula dua terminal, yang ditutup sejak Mei 2020.

Terminal 4 menyambung semula operasi pada 13 Sep, manakala Terminal 2, yang ditutup untuk kerja-kerja naik taraf mula dibuka secara bertahap-tahap sejak 29 Mei.

Kerja-kerja binaan turut akan diteruskan di Terminal 5 selepas ditangguhkan selama dua tahun disebabkan pandemik.
Sumber : CNA/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa