Skip to main content

Singapura

Penumpang berkelakuan buruk dipenjara selepas hentak bumbung teksi, pukul pemandu

Seorang pemandu teksi yang mengambil empat orang penumpang di Orchard Towers cuba menghentikan kelakuan buruk mereka semasa di dalam kenderaannya, tetapi sebaliknya dipukul di mukanya pula.

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang berkelakuan buruk dipenjara selepas hentak bumbung teksi, pukul pemandu

Gambar fail Orchard Towers. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

Diterbitkan : 30 Dec 2019 02:14PM Dikemas Kini : 30 Dec 2019 02:16PM

SINGAPURA: Seorang pemandu teksi yang mengambil empat orang penumpang di Orchard Towers cuba menghentikan kelakuan buruk mereka semasa di dalam kenderaannya, tetapi sebaliknya dipukul di mukanya pula.

Penumpang yang memukulnya, Muhammad Fadly Rosli, 32 tahun, pada Isnin (30 Dis) dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan diarah membayar ganti rugi kepada pemandu teksi itu bagi bil perubatannya.

Mahkamah diberitahu bahawa pemandu teksi berusia 49 tahun itu mengambil Fadly dan tiga orang rakannya di Orchard Towers pada sekitar 11.05 malam pada 31 Julai tahun ini.

Keempat-empat penumpang itu ingin menuju ke Sumang Walk, dengan Fadly di tempat duduk bahagian belakang.

Semasa dalam perjalanan, tiga lelaki dan seorang wanita itu berkelakuan buruk dan membuat bising sambil berkali-kali menghentak bumbung teksi itu, kata Timbalan Pendakwa Raya Ho Jiayun.

Prihatin tentang keselamatan, pemandu teksi itu berulang kali memberi amaran kepada mereka supaya jangan menghentak bumbung teksi itu, tetapi tidak diendahkan.

Pertikaian kemudian berlaku antara pemandu teksi, Fadly dan penumpang lain. Semasa pertikaian itu, Fadly memukul pemandu teksi berkenaan pada sebelah kiri mukanya.

Pemandu tersebut kemudian mula memandu ke balai polis berhampiran, tetapi para penumpang itu turun di persimpangan lalu lintas di Ang Mo Kio apabila beliau menghentikan teksinya.

Fadly dan rakannya berpatah balik untuk membayar pemandu itu. Mangsa kemudian menghubungi polis pada 11.32 malam, sambil mengatakan beliau dipukul dan bahawa beliau sedang memandu untuk mencari semula para penumpang itu.

Pemandu itu pergi ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di Hospital Besar Sengkang dan dirawat mukanya. Beliau diberi dua hari cuti sakit.

Fadly mengaku bersalah atas satu pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan, dengan pendakwa meminta hukuman penjara empat minggu.

Pihak pendakwa berkata mangsa adalah seorang pekerja pengangkutan awam, yang lebih terdedah kepada keganasan dan sentiasa terdedah kepada khidmat barisan hadapan.

Kesalahan itu berlaku pada waktu malam dan mangsa itu tidak mengganggu dan cuba menenangkan para penumpangnya, kata pendakwa.

Beliau "berasa begitu takut sehingga berasa tergerak untuk memandu ke balai polis".

Pihak pendakwa juga menyenaraikan beberapa dakwaan lalu Fadly sejak tahun 2001, termasuk merusuh, tidak melaporkan diri kepada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan mencuri.

Pendakwa juga meminta mahkamah supaya mengeluarkan arahan untuk membayar ganti rugi bagi melunaskan bil A&E mangsa.

Fadly, yang tidak diwakili peguam, meminta hukuman lebih ringan. Atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, Fadly boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita