Penumpang bas SBS Transit meninggal dunia 8 hari setelah terjatuh dalam bas
Seorang lelaki berusia 68 tahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, lapan hari setelah dia terjatuh dalam sebuah bas SBS Transit apabila bas itu berhenti secara tiba-tiba untuk mengelak berlaku kemalangan.

(Gambar: Facebook/Siah Hwan Ling)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 68 tahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, lapan hari setelah dia terjatuh dalam sebuah bas SBS Transit apabila bas itu berhenti secara tiba-tiba untuk mengelak berlaku kemalangan.
Anak perempuan mangsa, Cik Siah Hwan Ling menulis komen di akaun Facebooknya pada awal pagi Khamis (16 Sep) untuk mengumumkan pemergian ayahnya.
"Minta maaf, semua, terima kasih atas segala doa yang diberikan. Kami benar-benar menghargainya. Ayah saya tidak dapat diselamatkan. Dia sudah meninggal dunia," kata Cik Siah.
Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp pada Khamis malam, Cik Tammy Tan, naib presiden kanan perhubungan korporat SBS Transit berkata: "Kami sangat berduka cita apabila mendapat tahu tentang pemergian Encik Siah dan kami sedang menghulurkan bantuan kepada keluarga mendiang pada waktu sukar ini."
Encik Siah Keok Tiang menaiki bas nombor 175 pada 8 September.
Bas itu sedang melalui North Bridge Road apabila sebuah kereta di laluan seterusnya "secara tiba-tiba memotong" ke dalam laluan bas lalu bergeser dengan bahagian depan bas itu, kata Cik Tan dari SBS Transit sebelum ini.
Encik Siah sedang duduk di bahagian tempat duduk berhampiran pintu depan bas dan baru sahaja berdiri untuk bersiap sedia turun daripada bas. Dia kemudian hilang imbangan lalu tersungkur ke hadapan.
Pemandu bas dengan serta-merta menghentikan bas lalu menghubungi pusat kawalan operasi, yang kemudian menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke hospital.
Polis kemudian memberkas seorang pemandu lelaki berusia 43 tahun kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kecederaan parah.
Siasatan polis masih dijalankan.
Mediacorp sudahpun menghubungi Cik Siah bagi mendapatkan komen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.