Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penumpang bas ke JB perlu tunggu lebih lama dek kerja-kerja naik taraf di imigresen M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang bas ke JB perlu tunggu lebih lama dek kerja-kerja naik taraf di imigresen M'sia

Kerja-kerja penggantian dan pemasangan pagar automatik dijalankan di Bangunan Sultan Iskandar. (Gambar: Facebook/BSI)

SINGAPURA: Para penumpang yang menaiki bas dari Singapura ke Malaysia, melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands, boleh menjangkakan masa menunggu lebih lama disebabkan kerja-kerja naik taraf berterusan di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

"Sebilangan lorong pelepasan automatik di dewan-dewan bas sedang menjalani kerja-kerja penggantian dan pemasangan yang berterusan dan tidak akan beroperasi dari 16 Oktober hingga 10 November," jelas Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (19 Okt).

Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar menyatakan dalam catatannya di laman Facebook bahawa pagar-pagar automatik yang tidak terjejas dalam kerja-kerja naik taraf akan beroperasi seperti biasa bagi warga Malaysia yang tiba di negara itu.

Ia bagaimanapun tidak mendedahkan secara khusus jumlah lorong pelepasan automatik yang akan disediakan.

Kaunter-kaunter manual 1 hingga 4 hanya akan memproses warga Malaysia yang tiba di negara itu, manakala kaunter 5 diperuntukkan bagi warga emas, golongan berkeperluan khas, wanita hamil dan penduduk tetap Malaysia.

Baki kaunter, dari 6 hingga 18, adalah bagi semua jenis pasport, menurut pejabat imigresen itu.

HUJUNG MINGGU PANJANG SEMPENA DEEPAVALI

ICA juga memberi amaran kepada para pelawat supaya menjangkakan kelengahan pada hujung minggu akan datang, dengan hari cuti Deepavali yang jatuh pada hari Isnin.

Para pelawat dinasihatkan supaya menyesuaikan rancangan perjalanan mereka, jika boleh, bagi mengelak kesesakan trafik.

"Kami meminta pemahaman dan kerjasama para pelawat supaya bersabar, mematuhi peraturan trafik, mengekalkan disiplin lorong dan memberi kerjasama kepada para pegawai di kawasan itu semasa menggunakan pusat-pusat pemeriksaan darat."

Pada waktu sibuk pada hujung minggu panjang sempena Deepavali 2019, ICA menyatakan para pelawat yang bergerak dan tiba dengan kereta melalui pusat-pusat pemeriksaan darat perlu menunggu sehingga dua jam sebelum mereka dapat melepasi imigresen.

ICA menambah aliran trafik melalui kedua-dua pusat pemeriksaan darat juga sudah mencapai sekitar 80 peratus paras sebelum pandemik.

Sekitar 325,000 individu melakukan perjalanan melalui kedua-dua pusat pemeriksaan setiap hari pada hujung minggu lalu.

Jumlah individu yang melalui pusat-pusat pemeriksaan itu juga mencapai paras sebelum pandemik semasa waktu-waktu sibuk.

Para pelawat dinasihatkan supaya mengambil kira masa tambahan untuk melepasi imigresen dan mengelak waktu-waktu sibuk berikut:

Bergerak dari Singapura

Jumaat (21 Okt), pukul 3.00 petang hingga pukul 11.59 petang

Sabtu (22 Okt), pukul 6.00 pagi hingga pukul 10.00 pagi, pukul 6.00 petang hingga pukul 11.59 petang

Tiba di Singapura

Isnin (24 Okt), pukul 6.00 petang hingga pukul 11.59 petang

ICA menyatakan pihaknya akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memudahkan pelepasan imigresen tanpa menjejas keselamatan, sambil menambah bahawa para pegawai pusat pemeriksaan terus memantau keadaan trafik bagi memastikan pengerahan optimal sumbernya.

"Kami juga bekerjasama dengan Polis Trafik bagi memastikan disiplin jalan raya di persimpangan-persimpangan penting menghala ke pusat-pusat pemeriksaan darat."

ICA juga menasihatkan para pemandu supaya memantau keadaan trafik di pusat-pusat pemeriksaan darat melalui laman One Motoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atau melalui Sistem Pemantauan & Makluman Ekspreswe (EMAS) yang masing-masing dipasang di Ekspreswe Bukit Timah dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).

Para pemandu juga boleh mendapatkan kemas kini mengenai keadaan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan darat melalui akaun Facebook dan Twitter ICA.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan