Skip to main content

Singapura

Penumpang bas awam perlu patuh 'syarat pengangkutan' baharu atau diarah turun

Pemandu bas awam tidak lama lagi diberi kuasa untuk meminta penumpang turun jika mereka tidak mematuhi "syarat pengangkutan" yang baru diperkenalkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang bas awam perlu patuh 'syarat pengangkutan' baharu atau diarah turun

Para penumpang beratur untuk menaiki bas ketika hujan di Singapura. (Gambar: CNA/Lan Yu)

Diterbitkan : 05 Mar 2025 07:17PM Dikemas Kini : 05 Mar 2025 07:18PM

SINGAPURA: Pemandu bas awam tidak lama lagi diberi kuasa untuk meminta penumpang turun jika mereka tidak mematuhi "syarat pengangkutan" yang baru diperkenalkan.

Bermula 10 Mac, syarat-syarat tersebut menetapkan garis panduan yang jelas berkenaan tingkah laku penumpang bas awam, kata Setiausaha Kanan Parlimen bagi Pengangkutan Baey Yam Keng pada Rabu (5 Mac).

Antara tingkah laku penumpang yang ditetapkan dalam syarat-syarat tersebut adalah:

  • Tingkah laku penumpang yang teratur dan sopan
  • Tingkah laku yang selamat
  • Menjaga kesihatan awam dan kebersihan
  • Memastikan perjalanan pengangkutan awam yang bertimbang rasa dan inklusif


Encik Baey berkata bahawa syarat-syarat itu akan menyediakan pengalaman yang selamat dan selesa bagi penumpang dan pemandu bas. Beliau berkata demikian dalam ucapannya di parlimen yang memperincikan perbelanjaan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi tahun 2025.

"Ia akan menentukan apa yang boleh dilakukan oleh pekerja pengangkutan untuk mengatasi situasi di mana penumpang tidak bekerjasama," katanya.

"Dalam kes yang serius, kapten bas boleh mengarahkan penumpang yang mengganggu ketenteraman untuk turun dari bas, atau jika perlu, menghubungi polis."

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan dalam satu kenyataan bahawa syarat-syarat tersebut dibangunkan menerusi perundingan bersama empat pengendali bas awam dan Kesatuan Pekerja Pengangkutan Nasional. Butiran lanjut mengenai pelaksanaan rangka kerja kawal selia itu akan diumumkan pada separuh pertama 2026.

"LTA dan pengendali pengangkutan awam akan menggunakan budi bicara dan keadilan dalam menguruskan penumpang yang tidak bertimbang rasa, terutamanya bagi kes yang melibatkan penumpang yang mengalami isu kesihatan fizikal atau mental," katanya.

Encik Baey berkata penggunaan "speaker" dalam pengangkutan awam adalah salah satu tingkah laku mengganggu yang sedang diteliti.

"Kami akan mempertimbangkan cadangan untuk menggunakan ambang desibel bagi membezakan bunyi yang mengganggu," kata Encik Baey.

LTA juga akan terus bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk menggalakkan tingkah laku perjalanan yang bertimbang rasa, sambil mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas penumpang yang tidak bertimbang rasa.

Sejak Disember 2024, LTA dan pengendali pengangkutan awam sudah memperkenalkan papan tanda baharu untuk mengingatkan penumpang agar mengurangkan tahap bunyi bising, mengelakkan daripada duduk di lantai, dan hanya mengambil satu tempat duduk.

Pada masa ini, apabila seorang pemandu bas berhadapan dengan penumpang yang menyebabkan gangguan – seperti memainkan audio dengan kuat semasa menggunakan telefon bimbit – pemandu akan memberi nasihat terlebih dahulu agar penumpang itu berhenti melakukan sedemikian. Jika penumpang enggan, pemandu akan memberitahu perkara tersebut kepada pusat kawalan operasi bas untuk mendapatkan panduan lanjut. Dalam kes yang lebih serius, penumpang mungkin diminta untuk turun atau dirujuk kepada pihak polis.

Dalam rangkaian MRT, penumpang yang terlibat dalam tingkah laku yang mengganggu seperti yang tertera pada papan tanda yang ada boleh dikenakan notis kesalahan, dengan denda sehingga S$500 bagi setiap pelanggaran. Kesalahan yang lebih serius, seperti mengotorkan premis kereta api, boleh dikenakan denda sehingga S$5,000, dan pengendali pengangkutan boleh mengarahkan penumpang untuk keluar atau melibatkan polis dalam kes yang lebih berat.

Sejak pengenalan papan tanda baharu tersebut, LTA menyatakan bahawa ia sudah bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang dilakukan.

KEMAS KINI PROGRAM PENINGKATAN KETERSAMBUNGAN BAS

Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat memberi kemas kini mengenai Program Peningkatan Ketersambungan Bas yang dilancarkan pada Julai 2024.

Encik Chee berkata LTA merancang untuk memperkenalkan lagi 15 perkhidmatan bas pada 2025 di pelbagai kawasan, termasuk Punggol, Bidadari, Yew Tee dan Tampines.

"Sedang kami menambah jumlah bas, kami juga akan memberi keutamaan kepadanya di lebih banyak jalan untuk memudahkan pergerakan dan meningkatkan keandalannya," katanya.

Beliau menambah bahawa LTA akan menambah kira-kira 20 kilometer lorong baharu bagi bas tahun ini, dan lebih banyak lagi pada tahun-tahun akan datang.

Setakat ini, terdapat 10 perkhidmatan baharu yang diperkenalkan dan 36 perkhidmatan yang dipertingkat di bawah program tersebut bagi memperbaiki kapasiti dan rangkaian ketersambungan bagi penduduk di Yishun, Tengah, Hougang dan Fernvale.

MEMPERTINGKAT KESELAMATAN BAS

Seiring dengan garis panduan tingkah laku tersebut, pemerintah juga sudah menerima satu siri cadangan bagi keselamatan bas daripada satu pasukan petugas yang ditubuhkan berikutan beberapa kemalangan yang melibatkan bas awam, kata Menteri Negara bagi Pengangkutan, Murali Pillai.

Pasukan Bertindak Perikatan Keselamatan Bas, yang ditubuhkan pada Julai 2024 dan dipengerusikan Encik Murali, mendapati bahawa jumlah kemalangan serius bas kekal stabil dalam tempoh tiga tahun lalu, dengan 191 pada 2022, 200 pada 2023 dan 185 pada 2024.

Jumlah kemalangan yang melibatkan pemandu bas sebagai pihak yang bersalah adalah 85 pada 2022, 99 pada 2023, dan 93 pada 2024.

Untuk mempertingkat keselamatan bas awam, pasukan bertindak itu mencadangkan keadaan kerja yang lebih baik untuk pemandu bas, memperbaiki persekitaran jalan raya dan memperkukuhkan latihan buat pemandu bas.

Langkah-langkah khusus yang dicadangkan termasuk:

  • Meningkatkan waktu rehat untuk para pemandu bas makan dari 25 ke 30 minit
  • Menetapkan had laluan baharu bas kepada tempoh dua jam untuk mengurangkan keletihan pemandu
  • Mempertingkatkan program latihan, seperti program latihan semula Bus Captain Drive Safe, yang mengukuhkan protokol keselamatan
  • Mengkaji sama ada lebih banyak lorong bas dan kotak keutamaan boleh dilaksanakan di perhentian bas
  • Memperkenalkan teknologi seperti sistem amaran perlanggaran dan sistem cermin kamera pada bas

Menurut MOT dalam satu kenyataan, pemerintah akan bekerjasama dengan pengendali pengangkutan dan kesatuan pekerja untuk melaksanakan cadangan pasukan petugas itu.

“Pada masa yang sama, penumpang dan pengguna jalan raya juga digalakkan untuk memainkan peranan bagi menyokong kapten bas kami, dan membantu dalam menjadikan jalan yang dikongsi lebih selamat untuk semua,” menurut kementerian tersebut.

Butiran lanjut tentang bagaimana cadangan itu akan dilaksanakan akan dikongsi kelak, kata Encik Murali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita