Skip to main content

Singapura

Penulis SG, Farihan Bahron terima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2023

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: "Sastera adalah satu taman atau landskap yang harus diserikan dan dimekarkan sebagai tanaman subur".

Itulah kata-kata mutiara yang diucapkan penerima penghargaan Sasterawan Muda Mastera 2023, Encik Farihan Bahron.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan para penulis muda yang menyumbang kepada perkembangan dunia kesusasteraan Melayu di rantau ini.

Ia diberikan oleh Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dengan kerjasama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).
(Gambar: Farihan Bahron/MASTERA)
MASTERA bertanggungjawab untuk merancang dan memantau perkembangan Sastera Melayu-Indonesia di Asia Tenggara.

Negara yang menjadi anggota MASTERA termasuk Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia.

Majlis penyampaian Anugerah Sasterawan Muda MASTERA yang keenam berlangsung di Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Jakarta pada 20 September lalu.

"Pengiktirafan ini dicalonkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura yang memainkan peranan untuk memantau segala aktiviti dan kegiatan sastera di Singapura ini dan mungkin rekod pencapaian saya sejak beberapa dekad ini telah mewajarkan saya untuk mendapatkan anugerah ini," kongsi Encik Farihan.
(Gambar: Farihan Bahron/MASTERA)
AKUR PENGIKTIRAFAN BUKAN MUDAH DIKECAPI, DATANG DENGAN TANGGUNGJAWAB

Encik Farihin bersyukur kerja keras dan dedikasinya dalam sastera Melayu tanah air selama lebih tiga dekad membuahkan hasil.

"Tentu sekali saya rasa amat bersyukur atas pengiktirafan ini dan seharusnya pengiktirafan itu tidak datang bergolek kerana ia satu pengesahan perjalanan saya sebagai seorang penulis sepanjang tahun ini. Saya fikir ini satu tanggungjawab yang perlu digalas."

"Kita memang sudah melakukan sebaik mungkin selepas beberapa tahun ini dan Alhamdulillah segalanya sudah dikecapi dengan pengiktirafan ini," tambah Encik Farihin.

Sebelum ini, beliau pernah menerima Anugerah Harapan bagi Anugerah Persuratan 2017 dan 2020.

Ini selain beberapa sayembara penulisan puisi dan cerpen termasuk Anugerah Pena Emas pada 2003 dan 2015.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Encik Farihan yang menulis sajak sejak dari kecil kini meluaskan karyanya kepada penulisan novel.

"Saya bermula menulis sajak pada usia yang agak awal usia kanak-kanak semasa 12 tahun dan kemudian saya masuk ke dalam bidang seni kata dikir barat dan kemudian saya menulis cerpen baru-baru ini juga dan akan datang adalah dua buah novel belia," kata Encik Farihan.

Dua novel remaja pertamanya itu yang bertajuk 'Antidot Usia' dan 'Arca Di Muzium' akan dilancarkan pada minggu hadapan.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
HARAPAN BUAT SASTERA MELAYU TANAH AIR

Dengan pengiktirafan itu, Encik Farihan menanam harapan untuk menarik minat lebih ramai anggota masyarakat untuk menikmati dan menghargai karya tempatan.

"Insya Allah saya akan terus menjalankan kerja-kerja penerbitan bukan sahaja dari saya sebagai seorang penulis tapi juga menerbitkan karya-karya dari penulis baharu dan juga mapan di Singapura. Saya juga masih mengendalikan beberapa bengkel-bengkel penulisan kreatif untuk anak-anak muda kita dan pada masa yang sama kita cuba untuk memupuk dan mencanangkan kegiatan-kegiatan sastera di Singapura ini," kata Encik Farihan.

Dua pengarang tempatan yang diberi pengiktirafan serupa adalah Hassan Hasaa'ree pada 2017 dan Noor Hasnah Adam pada 2013.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita