Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penulis Rohani Din terima Anugerah Adijasawan Sastera, Hari Mastera diraikan

Anggaran Waktu Membaca:
Penulis Rohani Din terima Anugerah Adijasawan Sastera, Hari Mastera diraikan

Penulis Rohani Din terima Anugerah Adijasawan Sastera, Hari Mastera diraikan. (Gambar: MBMS)

SINGAPURA: Penulis Rohani Din, 70 tahun terpilih untuk menjadi penerima pertama Anugerah Adijasawan Sastera hari ini (19 Ogos) atas dedikasinya menghasilkan karya-karya sastera Melayu. 

Ini merupakan anugerah baru oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) bagi menghargai sumbangan individu yang menghasilkan karya dan menjalinkan rangkaian bersama penulis-penulis lain di nusantara. 

Gambar: MBMS

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi MBMS, Fahmi Aliman sempena Hari Mastera 2023 yang diadakan di The Arts House.

Acara itu juga dianjurkan buat julung-julung kalinya untuk meraikan penubuhan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) pada 1995.

Negara-negara anggota lain iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia juga akan mengadakan sambutan serupa di negara masing-masing. 

PADA USIA 70 TAHUN, MASIH GIGIH MENGHASILKAN KARYA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Tidak menduga sama sekali dengan penghargaan besar itu, Cik Rohani menerima anugerah itu dengan penuh emosi. 

"Rasanya terkedu sebab anugerah ini tinggi, jadi sangat jadi takut dan gayat," kongsi Cik Rohani, yang senang dikenali sebagai 'Bonda'.

"Sudah lebih 20 tahun (menulis). Banyak kenangan pahit dan manis dan ikutkan pahit itu lebih banyak tetapi ia tidak menumpul dan melemahkan semangat Bonda yang ingin menulis. Pada Bonda, menulis itu, kalau orang tidak ingin membaca tidak mengapa. Aku tinggalkan kepada anak-anak cucu yang mungkin pada masa akan datang tidak tahu Bahasa Melayu kita bagaimana," tambahnya.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Malah anugerah itu turut membuatkan Cik Rohani lebih terdorong untuk menyumbang kepada arena sastera Melayu.

"Walaupun keupayaan Bonda terbatas sekarang kerana sakit tetapi terdorong juga dan bersedia untuk memberi tunjuk ajar kepada yang memerlukan ilmu. (Jika) seorang datang, (minta) Bonda tolong ajar, Bonda terima," menurut Cik Rohani yang mempunyai empat orang anak, dan 10 cucu. 

Meskipun kurang sihat buat masa ini, Cik Rohani masih lagi gigih menghasilkan buku kumpulan puisi yang menurutnya sudah "95 peratus" siap. 

Cik Rohani dikenali menerusi karya-karyanya seperti Diari Bonda dan Lara Di Pinggir Sepi. 

JANGAN LUPAKAN BAHASA KITA, TULIS JANGAN TAK TULIS

Dalam pada itu, beliau berharap bahasa Melayu terus dilestarikan. 

"Di mana-mana pun Bonda akan cakap, jangan lupakan bahasa kita. Maju ke depan, tulis jangan tak tulis. Hari-hari perlu tulis. Tulis walaupun sehari sebaris. Bila dah tulis jangan fikir bila nak habis, bila dah habis jadi buku jangan fikir laris tak lari. Buku ada jalur dan nasibnya sendiri," ujar Cik Rohani. 

Dalam acara yang sama, para tokoh sastera Melayu Singapura, para akademik serta Sahabat Sastera yang dilantik MBMS berkumpul untuk berkongsi idea-idea dan menyampaikan beberapa puisi yang dihasilkan oleh para penulis dari dunia Melayu.

Ini antaranya daripada para penulis tersohor Singapura seperti Mohd Latiff Mohd dan Masuri S.N serta penulis dari serantau ini seperti dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brunei Darussalam.

'KENAPA NUSANTARA MESTI DI HATI'

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Di acara itu juga, para hadirin dapat mengikuti ceramah yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Persuratan, Dr Azhar Ibrahim berjudul 'Kenapa Nusantara Mesti Di Hati'.

"Nusantara itu adalah wilayah peradaban kita yang kita warisi dari lalu. Kita harus melihat kekuatan tradisi kita tetapi kita harus bikin dan bingkainya dalam bentuk yang moden dan hari ini. Mahu tak mahu, kita berdepan dengan globalisasi yang harus kita memadukan tradisi dan yang moden," kongsi Dr Azhar.

"Satu yang menjadi keutamaan perbincangan saya itu ialah ayuh kita harus menciptakan bukan sahaja wadah sastera itu tetapi jurubicara yang hujungnya telah meletakkan sastera nusantara ini menyumbang kepada sastera dunia besar," tambahnya. 

Selain itu, Dr Azhar turut berkongsi tentang kepentingan sastera Melayu di nusantara ini. 

Antaranya termasuk sastera sebagai "sebahagian daripada korpus pemikiran yang telah dianjurkan oleh para sasterawan kita".

"Mereka adalah kepimpinan tinggi yang membicarakan tentang kemasyarakatan, kemanusiaan dan jalur duri yang dilalui oleh masyarakat, serta pengalamannya," menurut Dr Azhar. 

Para hadirin Hari Mastera 2023. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Dr Azhar turut berkongsi bahawa sastera di nusantara itu penting kerana ia "menyatukan kita" dan tidak mempunyai sempadan. 

"Kalau sastera Malaysia itu kita baca, kita rasa ia bersama dengan kita, (maka ia) sastera kitalah. Kalau sastera Indonesia itu kita rasa dekat dengan kita, (ia) sastera kitalah. Mentelah lagi, kita mempunyai sebuah bahasa yang sama, bahasa  Malaysia, bahasa Indonesia, bahasa Melayu jadi lingua franca ini telah membenarkan kita 'criss-cross' atau menyilang sempadan itu," ujar Dr Azhar. 

Beliau juga berpendapat sekiranya sastera Melayu itu diperjuangkan secara serantau, ia  boleh menyumbang sebagaimana sastera-sastera lain seperti Amerika Latin dan Afrika dapat lakukan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan