Skip to main content

Singapura

Penulis Gen Z, Fadhli Fadzil, terbitkan buku koleksi 12 cerpen sulung

Anggaran Waktu Membaca:
Penulis Gen Z, Fadhli Fadzil, terbitkan buku koleksi 12 cerpen sulung

Encik Fadhli Fadzil di majlis pelancaran buku cerpen sulungnya, 'Terlena di Teluk Bibir' (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 29 Jun 2026 08:44PM Dikemas Kini : 30 Jun 2026 09:34PM
SINGAPURA: Kehilangan, kekeluargaan dan pencarian makna hidup.

Tema-tema sebegini menyatukan 12 cerpen dalam buku koleksi cerpen sulung penulis Generasi Z, Fadhli Fadzil.

Buku itu yang berjudul 'Terlena di Teluk Bibir' telah dilancarkan di Auditorium Taman Warisan Melayu pada Sabtu (27 Jun).

Menurut Encik Fadhli dan penerbit buku Farihan Bahron, 'Terlena di Teluk Bibir' bukan judul sebarang cerpen dalam buku itu.

Ia sebaliknya merupakan konsep memayungi pemikiran keseluruhan buku ini.

Encik Fadhli, 27 tahun, berkata ia merujuk kepada senyuman di akhir rintangan kehidupan yang dialami, menandakan keredaan dan keredhaan.

TIGA TAHUN UNTUK SIAPKAN BUKU 'TERLENA DI TELUK BIBIR'

Encik Fadhli, 27 tahun, juga pemenang Anugerah Pena Emas 2023 anjuran Arts House Group, disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dengan kerjasama Majlis Buku Singapura bagi kategori cerpen.

Menurut beliau, ia mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkan penerbitan buku tersebut.

"Dalam tiga tahun itu, saya banyak melalui pelbagai perubahan dari segi kehidupan dan juga gaya penulisan. Oleh itu, pembaca pasti dapat alami gaya Fadhli Fadzil yang berbeza-beza dalam kesemua dua belas cerpen dalam kumpulan cerpen ini," kongsi Encik Fadhli kepada wartawan Athirah Karim.

Beliau turut berkongsi bahawa cerpen 'Sepetang di Padang Terbang' merupakan yang terawal ditulisnya iaitu pada tahun 2016.

"Bagi cerpen-cerpen lama, selain penyuntingan kecil, kesemua cerpen dizahirkan dalam bentuk paling asal untuk mengabadikan pemikiran saya pada ketika saya menulis cerpen tersebut," tambah beliau.

Encik Fadhli juga mengakui pengalaman hidupnya diselitkan dalam kesemua cerpen dalam buku tersebut.

Misalnya, perjalanan watak 'Julia' mencari ayahnya dalam cerpen 'Tiket Pulang' mencerminkan keinginan beliau sendiri untuk mengetahui sejarah ibunya bersama arwah ayahnya.

"Ia sebuah cerpen yang saya rasa saya ingin tahu tentang hidup Ibu, hidup Ayah tapi mungkin tak sempat jadi dengan cerpen itu mungkin saya dapat memberikan harapan kepada 'Julia' untuk bertemu dengan apa yang dia hilang," luah beliau.

DUA CERPEN DARI BUKU 'TERLENA DI TELUK BIBIR' DIPENTASKAN UNTUK MENDEKATKAN GENERASI MUDA KEPADA KARYA SASTERA
Related article image
Filza Izzati dalam pementasan 'Tiket Pulang' (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Semasa acara pelancaran buku 'Terlena di Teluk Bibir', dua cerpen juga diolah kepada pementasan teater.

Antaranya termasuk cerpen 'Tiket Pulang'.

Encik Fadhli menyifatkan usaha ini sebagai satu cara mendekatkan golongan muda kepada sastera.

"Sastera di sini tidak hanya merujuk kepada pembacaan tetapi juga dalam bentuk teater, filem dan sebagainya. Oleh itu, peranan penulis juga perlu gigih dalam meletakkan perancah supaya masyarakat umum dapat mengakses karya mereka dalam bentuk-bentuk yang dekat dengan diri mereka," kata beliau.

Pementasan 'Terlena Di Teluk Bibir' turut mengolah cerpen 'Kita Berbual Esok' yang menyingkap kesunyian seorang jejaka sehinggakan dia mencari pengisi kekosongan itu dengan 'chatbot'.
Related article image
Batrisya Soffian (kiri) dan Danial Izwan (kanan) dalam pementasan 'Kita Berbual Esok' (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Pementasan itu diarahkan oleh Encik Hidayat Nordin dari Meja Conteng dan Aras Teater dan dibintangi Filza Izzati, Batrisya Soffian dan Danial Izwan.

GENERASI MUDA KINI PELAPIS KESUSASTERAAN MELAYU SG

Semasa di acara pelancaran itu, mantan pensyarah NTU-NIE, Dr Sa'eda Buang turut memuji usaha yang dijalankan anak muda itu.

Dr Sa'eda berkata bahawa Encik Fadhli berjaya menggalak perubahan dalam dunia penulisan di samping menekankan keteguhan pada jati diri dan budaya Melayu.
Related article image
Mantan pensyarah NTU-NIE, Dr Sa'eda Buang, memberi kata alu-aluan dalam majlis tersebut (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Beliau juga menekankan bahawa buku tersebut sebuah petanda adanya pelapis sastera Melayu dalam kalangan golongan muda.

"Penerbitan buku oleh seorang penulis muda yang semakin meningkat namanya ini menandakan bahawa dunia penulisan di Singapura tidak gersang, malahan masih terus diperjuangkan dan dilestarikan oleh penulis pelapis muda yang percaya bahawa penulisan karya-karya cereka dalam bahasa Melayu masih relevan dan bermakna, kini dan pada masa hadapan," kata Dr Sa'eda.

Dr Noridah Kamari, yang juga pengasas bersama syarikat penerbitan buku Unggun Creative, juga berkongsi kebanggaan beliau dengan Encik Fadhli yang merupakan penulis Generasi Z pertama menerbitkan buku cerpen dewasa di Singapura.

"Kita boleh anggap (Fadhli) sebagai pemula, sebagai kepala. Saya rasa untuk Generasi Z Singapura, dia yang pertama yang sudah ada kumpulan cerpen selain daripada kumpulan puisi," ujar beliau.
Related article image
Dr Noridah Kamari (kiri) bersama Encik Fadhli Fadzil dalam sesi bicara buku (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Encik Fadhli, yang pernah menerbitkan buku koleksi puisi 'Di Sebalik Jendela' pada usia 21 tahun, turut merakamkan rancangan beliau untuk terus berkarya.

"Saya berharap setiap karya yang lahir selepas ini bukan sekadar menjadi penerbitan baharu, tetapi juga mencerminkan perkembangan saya sebagai seorang penulis yang sentiasa berani bereksperimen dan terus belajar," kata Encik Fadhli.

"Saya juga percaya setiap generasi perlu meninggalkan kisahnya sendiri. Saya berharap buku ini dapat menjadi salah satu suara daripada generasi kami. Masih banyak lagi pengalaman, kesusahan dan sudut pandang anak muda yang belum sempat diketengahkan. Mudah-mudahan buku ini menjadi bukti bahawa Generasi Z masih peduli dan masih mempunyai pena tajam untuk berkarya," kata beliau lagi dengan penuh kesungguhan.

Buku 'Terlena di Teluk Bibir' boleh didapati di lelaman Unggun Creative.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita