Penuh semangat di Padang: NDP2025 rai ulang tahun ke-60 SG
This audio is generated by an AI tool.
Tempat duduk dibahagikan kepada empat bahagian, dan ramai yang cuba mendapatkan tempat berhampiran pentas utama.
Beberapa penonton kelihatan teruja mengibarkan bendera dan meniup "thunder sticks".
NDP ACARA TAHUNAN KELUARGA
Bagi pemandu penghantaran, Encik Muhd Sidiq, sambutan Hari Kebangsaan adalah acara 'wajib' keluarganya sejak lima tahun lalu.
Mereka berempat tiba di Padang sekitar pukul 4.00 petang, lebih sejam sebelum acara bermula.
Encik Sidiq berkata beliau tidak sabar untuk menyaksikan pertunjukan udara, paparan kelengkapan tentera seperti kereta kebal, serta segmen perbarisan istiadat. Ibunya, Noriah Senin, 74 tahun, gembira dapat hadir ke perarakan walaupun menggunakan kerusi roda.
“Sangat mudah untuk saya sampai ke sini, dan saya rasa seperti VIP dengan pemandangan barisan hadapan yang begitu bagus,” katanya sambil ketawa.
Beliau menambah, perarakan ini adalah acara mengeratkan hubungan keluarga setiap tahun, tetapi tahun ini lebih istimewa kerana ia adalah ulang tahun ke-60 Singapura (SG60).
“Saya sangat gembira. Saya 74 tahun. Saya sudah melihat negara saya berkembang maju dan melihat semua pencapaiannya,” katanya kepada Mediacorp.
PROSES LANCAR
Dalam keghairahan untuk menyaksikan acara perbarisan itu, ada juga yang sudah tiba seawal pukul 3.00 petang!
Mereka yang ditemui di salah satu pintu masuk ke kawasan Padang yang terletak berdekatan Stesen MRT Raffles City berkata, mereka datang awal kerana tidak mahu bersesak-sesak nanti dan untuk peluang mendapatkan tempat duduk yang terbaik bagi menyaksikan NDP.
Malah, mereka yang ditemui sangat berpuas hati dengan proses pemeriksaan keselamatan,yang walaupun sangat ketat tetapi berjalan dengan lancar.
"Seluruh prosesnya agak lancar pasal saya ada bayi dan emak saya warga emas, jadi kita dapat keutamaan sekali. Jadi proses keseluruhannya dalam 20 minit," kongsi Muhd Ikhwan Wahid, 33 tahun.
Seorang lagi penonton Rohana Omar, 67 tahun berkata "Saya amat suka, tak sangka amat lancar. Selalu kalau tunggu lama kan. Alhamdulillah saya suka sekali.
Perjalanan dari pintu masuk ke pusat pemeriksaan keselamatan mengambil masa antara tiga hingga lima minit sahaja.
Dua lagi pintu masuk adalah dari Esplanade Walk dan jembatan Cavenagh.
Jika anda sedang menuju ke Marina Bay, jangan lupa untuk memeriksa peta Crowd@MarinaBay untuk melihat tahap kesesakan pada masa nyata.
Stesen MRT berdekatan, seperti Bayfront, City Hall, Esplanade dan Raffles Place, dijangka sesak, dan beberapa jalan akan ditutup pada masa tertentu.
Untuk memudahkan pergerakan malam ini, anda boleh melihat beberapa aturan lalu lintas dan keselamatan yang perlu diketahui di pautan ini:
Tidak dapat tiket untuk ke acara perbarisan?
Anda masih boleh menyaksikan terbang lalu bendera negara yang ikonik di beberapa kawasan kejiranan, dari pukul 5.30 petang hingga 6.20 petang.
Dua helikopter angkut berat CH-47, setiap satu diiringi dua helikopter serangan AH-64D Apache, akan melalui dua laluan.
Laluan barat termasuk Bukit Batok, Woodlands, Choa Chu Kang, Jurong dan West Coast.
Laluan timur pula meliputi Seletar, Sengkang, Punggol, Pasir Ris, Tampines, Bedok dan East Coast.
Masih belum terlambat untuk anda keluar dan saksikannya.
Disebabkan begitu ramai orang di sekitar Marina Bay, pihak polis sudah menutup akses ke Taman Merlion dan Jambatan Jubli, serta One Fullerton.
Peringatan bagi mereka yang ingin ke Marina Bay, sila periksa peta Crowd@MarinaBay untuk melihat tahap kesesakan orang ramai secara masa nyata.
Orang ramai sudah berkumpul di lokasi tumpuan, dengan beberapa orang menggunakan payung untuk melindungi diri daripada matahari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.