Skip to main content

Singapura

Penubuhan Jawatankuasa Daya Ekonomi tepat pada masa, bantu masyarakat rebut peluang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penubuhan Jawatankuasa Daya Ekonomi dilihat sebagai satu langkah tepat pada masanya, sedang ekonomi global terus berubah dengan pantas.

Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Sharael Taha berkata ia juga membuka ruang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk lebih bersedia menghadapi ekonomi baharu, khususnya dalam sektor yang sedang berkembang.

"Saya berharap ramai daripada masyarakat kita dapat mengambil peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka dan mengambil kesempatan untuk mencari peluang dalam ekonomi baharu," kongsi Encik Sharael kepada wartawan Batrisyia Kamal Baharim.

Akur dengan industri seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan keselamatan siber yang semakin berkembang, beliau menggesa masyarakat untuk terus meneroka bidang-bidang tersebut dan "menggunakan kemahiran baharu dalam AI atau keselamatan siber untuk meningkatkan kemahiran dan menubuhkan kerjaya yang lebih baik lagi"

Pembentukan jawatankuasa itu diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada Jumaat (10 Apr).

MASYARAKAT DIGESA REBUT PELUANG EKONOMI BAHARU

Dalam masa yang sama, Encik Sharael menekankan bahawa keadaan ekonomi semasa menuntut masyarakat untuk lebih bersedia, proaktif dan terus kekal relevan.

“Pada masa ini di mana ekonomi semakin pesat dan juga dalam situasi yang tidak tentu, ini adalah waktu terbaik untuk kita mencari kesempatan dan meningkatkan kemahiran supaya dapat mempersiapkan diri untuk industri baharu,” katanya lagi.

Ini menurutnya boleh dicapai dengan sokongan seperti Jawatankuasa Daya Ekonomi yang ditubuhkan bagi mengenal pasti cara-cara untuk menyokong pekerja, usahawan dan belia dalam aspek prospek pekerjaan, penggunaan teknologi seperti AI serta perkembangan perniagaan.

Jawatankuasa itu akan diterajui AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah yang juga merupakan Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) serta AP GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, yang juga Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank.

Berbekalkan pengalamannya dalam sektor kewangan dan perbankan, Encik Saktiandi berharap dapat mengenal pasti dan merangka pelan bagi sektor-sektor utama yang relevan kepada masyarakat.

"Kami mahu usaha ini membuahkan manfaat yang nyata buat masyarakat, supaya masyarakat Melayu/Islam dapat terus maju dengan penuh keyakinan dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi Singapura," kata Encik Saktiandi.
 
Related article image
AP GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Anggota jawatankuasa itu akan merangkumi pemimpin korporat dan pakar industri merentas pelbagai segmen masyarakat.

HALA TUJU LEBIH JELAS DALAM MENGHADAPI TEKANAN KOS

Dalam kalangan ahli perniagaan pula, langkah tersebut disambut baik sebagai satu usaha yang dapat membantu memperkukuh daya saing.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Dr Abdul Malik Hassan berkata penubuhan jawatankuasa itu memberi tumpuan yang jelas kepada isu ekonomi masyarakat.

“Dalam ekonomi yang tak menentu sekarang, ia adalah cadangan yang sangat baik sekali untuk masa hari ini dalam membentuk jawatankuasa ini,” katanya.

Sebagai sebuah masyarakat yang kecil, Dr Malik berpendapat usaha perlu disatukan agar lebih berkesan.

“Kita sebagai satu masyarakat tidak ramai di Singapura, jadi kita patut bersatu. Dengan adanya jawatankuasa ini, kita boleh fokus pada satu arah untuk pekerjaan dan perniagaan,” ujar beliau.
Related article image
Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Dr Abdul Malik Hassan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Ini lebih-lebih lagi dengan tekanan kos yang semakin meningkat yang turut memberi kesan pada perniagaan.

“Dengan peningkatan kos, khususnya dalam sektor tenaga dan makanan yang mencecah sehingga 25 peratus, penubuhan jawatankuasa ini dapat membantu menunjukkan hala tuju yang lebih jelas kepada para peniaga kita,” kata Dr Malik.

Jawatankuasa yang baru dibentuk itu juga akan mengkaji saranan daripada jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) dan menilai kesan serta cara-cara praktikal untuk menyokong masyarakat.

Jawatankuasa ESR akan membentangkan semua saranan-saranannya pada pertengahan tahun ini bagi menangani cabaran-cabaran yang dihadapi ekonomi Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita