Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penting untuk teliti kesan sampingan vaksin COVID-19 dalam 'konteks yang betul': pengerusi jawatankuasa pakar

Adalah penting konteks dan maklumat yang tepat berkaitan vaksin koronavirus diberikan supaya orang ramai boleh membuat keputusan yang betul, kata pengerusi jawatankuasa pakar vaksinasi COVID-19 Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Penting untuk teliti kesan sampingan vaksin COVID-19 dalam 'konteks yang betul': pengerusi jawatankuasa pakar

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 29 Jun 2021 02:19PM Dikemas Kini : 29 Jun 2021 02:21PM

SINGAPURA: Adalah penting konteks dan maklumat yang tepat berkaitan vaksin koronavirus diberikan supaya orang ramai boleh membuat keputusan yang betul, kata pengerusi jawatankuasa pakar vaksinasi COVID-19 Singapura.

"Saya khuatir jika orang ramai tidak melihat pada konteks yang betul dan membuat pertimbangan mengenai keputusan mereka dengan teliti, kita perlu hidup dengan akibat yang sukar pada masa depan," kata Profesor Madya Benjamin Ong dalam wawancara bersama Mediacorp pada Isnin (28 Jun).

Profesor Madya Ong membuat komen itu sehari selepas jawatankuasa pakar mengeluarkan kenyataan tentang manfaat pemberian vaksin mRNA COVID-19 yang melebihi risiko koronavirus.

Komen jawatankuasa tersebut adalah respons kepada surat terbuka oleh sekumpulan doktor, termasuk seorang pakar jantung yang tersebar di media sosial.

Ia meminta supaya pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan muda Singapura dihentikan buat sementara waktu ekoran kebimbangan vaksin COVID-19 bukan berasaskan mRNA mungkin dikaitkan dengan risiko rendah berlaku keradangan jantung dalam kalangan lelaki muda.

Surat terbuka itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri mesej di media sosial yang tidak menggalakkan rakyat Singapura untuk mendapatkan vaksin berasaskan mRNA.

Singapura menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna dalam program vaksinasi nasional, di mana kedua-duanya adalah vaksin berasaskan mRNA.

Profesor Madya Ong berkata Singapura tidak akan dapat memanfaatkan aksesnya kepada vaksin COVID-19 yang berkesan jika ia memberi reaksi kepada "setiap sudut pandangan yang mencemaskan".

"Saya ingin meletakkannya dalam konteks untuk peringatan semua - sekarang ini kita sedang terjejas dengan varian Delta COVID-19," katanya.

"Kami tahu dengan jelas bahawa varian Delta ini jauh lebih berjangkit, ia jelas melibatkan individu yang lebih muda dan anda boleh melihatnya dalam laporan-laporan yang kami keluarkan. Golongan muda yang terjejas melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak.

"Juga dalam kumpulan usia tertentu, kita mempunyai pilihan rawatan aktif terhad yang boleh kita gunakan."

Profesor Madya Ong memberi amaran akan gangguan selanjutnya kerana COVID-19 sekiranya anak muda Singapura tidak mendapat vaksin.

"Seperti sekarang ini, terdapat gangguan pada aktiviti sekolah, sekolah ditutup, dan banyak CCA yang terjejas. Kita terpaksa menyesuaikan jadual peperiksaan supaya dapat mengatasi ini. Dan cara yang terbaik untuk mengatasinya adalah untuk mendapatkan vaksin jika layak," katanya.

DOKTOR DENGAN PENDAPAT BERTENTANGAN MINORITI KECIL

Surat terbuka terkini menukil laporan siasatan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengenai seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang meninggal dunia selepas diberi dos kedua vaksin mRNA.

Ia mendakwa bahawa lelaki itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan menarik perhatian kepada laporan antarabangsa baru-baru ini tentang hubungan antara miokarditis dengan dos kedua vaksin mRNA dalam golongan pemuda.

Jawatankuasa itu pada Isnin berkata laporan berita yang ditukil oleh para doktor tersebut "tidak menyatakan bahawa kematian itu akibat kegagalan jantung seperti yang didakwa.

"Saya fikir kita perlu ingat bahawa mereka adalah minoriti yang sangat kecil," kata Profesor Madya Ong, merujuk kepada para doktor yang menulis surat terbuka itu.

"Sebilangan besar rakan sekerja saya mungkin akan melihat pada maklumat itu dalam cara yang sangat berbeza daripada sejumlah kecil yang membuat petisyen itu. Dan malangnya, jika anda tidak melihat dengan teliti bagaimana mereka sebenarnya membentangkan kes itu, anda mungkin lebih mudah diperdaya." 

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa