Penting untuk S'pura belajar daripada amalan terbaik masyarakat minoriti Islam lain: Masagos
Para cendekiawan agama Islam dari dalam dan luar negara kini berkumpul di Singapura bagi menyertai Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS).
Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli (tengah) bergambar bersama Setiausaha Agung 'Religions for Peace', Profesor Dr Azza Karam, mantan Perdana Menteri Western Cape dan Pengasas Yayasan 'World for All' , Ebrahim Rasool, dan pengarah SPIOR Netherlands, Nourdin El Ouali, dan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Bin Ahmad. (Gambar: Masagos Zulkilfi/Facebook)
Persidangan itu akan berlangsung selama dua hari bermula Jumaat (9 Sep).
Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berpeluang untuk berinteraksi dengan perwakilan dan penceramah yang akan menyertai persidangan itu.
Antara mereka termasuk Setiausaha Agung 'Religions for Peace', Profesor Dr Azza Karam, mantan Perdana Menteri Western Cape dan Pengasas Yayasan 'World for All' , Ebrahim Rasool dan pengarah SPIOR Netherlands, Nourdin El Ouali.
Barisan cendekiawan agama yang dijemput pula termasuk Profesor di Fakulti Syariah dari Maghribi, Profesor Driss al-Fahri al-Fassi dan Setiausaha Majlis Fatwa Mesir (Dar al-Iftaa) Shaykh Dr Amr Elwrdany.
Dalam satu catatan Facebook pada Khamis (8 Sep),Encik Masagos berkata ICCOS akan menjadi wadah bagi pemimpin dan penggiat masyarakat serta cendekiawan agama untuk sama-sama bertukar idea dan perspektif dalam membina masyarakat Islam yang berkembang maju.
"Rangkaian antarabangsa yang kami raih menerusi ICCOS juga bermanfaat. Penting bagi Singapura untuk belajar daripada amalan terbaik global daripada masyarakat minoriti Islam yang lain dan meningkatkan pengetahuan agama, agar dapat melibatkan diri secara berkesan dan menangani realiti serta cabaran kontemporari," kata Encik Masagos.
Beliau juga mengalu-alukan pelibatan aktif peserta dalam perbincangan sepanjang dua hari mendatang.
Dengan tema "Warga Negara yang Menyumbang, Institusi Dinamik", ICCOS akan memberi tumpuan kepada bagaimana panduan keagamaan mengikut konteks, kepimpinan keagamaan yang progresif dan institusi yang cekap akan memperkasa Muslim untuk hidup sebagai warga negara yang dihormati dan membuat sumbangan serta membangunkan masyarakat-masyarakat Muslim yang cemerlang.
ICCOS akan berlangsung di Pusat Konvensyen Raffles City hingga 10 September.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.