Penting untuk lindungi keharmonian dan keamanan negara daripada ancaman luar: Masagos
Demikian reaksi Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, apabila mendapat tahu tentang penangkapan seorang remaja berusia 17 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerusi satu catatan di Facebook pada Jumaat (18 Okt).
Remaja itu didapati mempunyai niat untuk melakukan serangan menggunakan pisau berhampiran Pusat Masyarakat Tampines West dan merancang untuk ke Syria untuk menyertai keganasan bersenjata.
Dalam catatannya, Encik Masagos memuji tindakan pantas mengucapkan pihak berkuasa.

"Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana bertindak segera dan memberikan remaja tersebut kaunseling serta pemulihan yang diperlukan."
Menurutnya, sebarang kehilangan nyawa yang tidak bersalah, kesedihan orang yang kehilangan orang tersayang, dan keruntuhan keluarga memberi kesan kepada semua.
"Kita semua merasakan kesakitan akibat kehilangan banyak nyawa yang tidak berdosa, orang-orang yang kehilangan orang tersayang, keluarga yang telah berpecah belah, serta kanak-kanak yang terpaksa belajar tentang kesedihan pada usia kecil.
Beliau juga menekankan pentingnya menghadapi isu itu dengan tenang.
"Konflik ini telah memberi kesan emosi kepada ramai daripada kita, termasuk diri saya sendiri. Konflik ini masih berterusan. Namun, kita mesti bersatu untuk menghadapi isu ini dengan tenang dan bijaksana, sebagai individu, sebagai komuniti, dan sebagai sebuah negara," kata Encik Masagos.
Yang paling penting, tambah beliau, adalah untuk tidak membenarkan sebarang situasi luar mempengaruhi keharmonian dan keamanan sehingga merosakkan cara hidup di Singapura.
"Semua orang harus memainkan peranan dan peka terhadap tanda-tanda jika anda mengesyaki seseorang telah menjadi radikal. Kes 'lone-wolf' atau individu yang bertindak sendiri ini adalah peringatan untuk kita semua agar tetap waspada. Kita juga mesti bersedia," kata Encik Masagos.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kepada orang ramai terutamanya penduduk di Tampines bahawa agensi keselamatan bersedia untuk menangani dan bertindak balas kepada sebarang ancaman.
"Kami telah menggagalkan kes ini dan pastinya kami akan terus memberikan sokongan dan bantuan bagi memastikan keselamatan dan keamanan (dalam) masyarakat," tambah Encik Masagos.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa jumlah sumbangan Singapura bagi bantuan kemanusiaan untuk Gaza setakat ini ialah S$17 juta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.