Skip to main content

Singapura

Penting transformasi ekonomi bersikap inklusif, kata Sharael Taha

Encik Sharael menekankan bahawa fenomena pendigitalan, Industri 4.0 dan COVID-19 sudah merubah dunia dan cara kita bekerja dan berniaga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: AP penggal pertama, Sharael Taha, menekankan dua isu utama dalam ucapan sulungnya di parlimen hari ini (1 Sep), iaitu pentingnya bekerjasama secara berkesan untuk merubah ekonomi serta peri pentingnya transformasi tersebut bersikap inklusif dan tidak meninggalkan sesiapa di belakang.

Encik Sharael menekankan bahawa fenomena pendigitalan, Industri 4.0 dan COVID-19 sudah merubah dunia dan cara kita bekerja dan berniaga.

Namun ini juga akan memacu peluang-peluang baru kata beliau.

Lantaran itu semua pihak - dari pertubuhan, pemerintah, perniagaan, kesatuan pelbagai industri dan individu mesti bekerjasama dengan berkesan untuk merubah ekonomi serta mendakap pendigitalan dan bersikap terbuka dalam mengharungi cabaran-cabaran baru.

Encik Sharael turut berkongsi pengalaman sebuah gerai nasi rawon kegemarannya yang mendakap pendigitalan.

"Gerai nasi rawon kegemaran saya di Bedok kini menyediakan khidmat penghantaran makanan ke seluruh Singapura menerusi aplikasi penghantaran makanan pihak ketiga dan pada hujung minggu lalu, saya dan keluarga dapat memesan nasi rawon itu dari rumah mentua di Choa Chu Kang. Pemilik gerai itu mungkin tidak dapat menerima dan memenuhi pesanan dari alamat yang jauh dari gerainya tanpa wadah digital," kata beliau.

KEKAL POSITIF, LIHAT CABARAN SEBAGAI PELUANG

Encik Sharael berkata, bagi sektor-sektor yang terjejas oleh COVID-19 seperti pelayanan, kegiatan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran) dan runcit, Skim Sokongan Gaji Bersama amat penting dalam membantu perniagaan-perniagaan bertahan dan kakitangannya dapat terus digajikan.

Namun beliau menambah, meskipun dengan adanya langkah-langkah seperti itu, kesan COVID-19 ke atas sektor-sektor tersebut dijangka berlarutan, misalnya dari segi kehilangan pekerjaan dan sebahagian pekerjaan ditiadakan lagi.

"Sekalipun demikian, akan ada peluang-peluang pertumbuhan dalam sektor-sektor lain. Bidang baru dalam pendigitalan, Industri 4.0 dan model-model perniagaan baru akan membentuk pemikiran-pemikiran baru. Kita perlu kekal positif dan melihat risiko-risiko dan cabaran sebagai peluang untuk merubah cara kita lakukan sesuatu," ujarnya.

Encik Sharael juga berkata beliau menyokong seruan pemerintah agar masyarakat memanfaatkan SkillsFuture dan menambah peluang latihan amali.

Namun, beliau menekankan bahwa kejayaan SkillsFuture tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kehadiran mahupun sama ada kursus tersebut berjaya ditamatkan.

Sebaliknya, ia perlu diukur berdasarkan keupayaannya untuk membuahkan hasil dan menunjukkan peningkatan dalam pekerjaan sebenar.

LAKUKAN PERUBAHAN DALAM SEKITARAN INKLUSIF

Dalam membuat perubahan, itu tidak seorang pun harus tertinggal di belakang, tegas Encik Sharael lagi.

Syarikat-syarikat harus memainkan peranan untuk mewujudkan peluang-peluang adil untuk tenaga kerja.

"Saya juga menyokong insentif yang diberikan MOM untuk menggalak syarikat menggajikan tenaga kerja tempatan. Namun, usaha-usaha ini mesti sepadan dengan kesanggupan para majikan untuk mengubah pendekatan mereka dan cuba membuat perubahan dalam pasaran kerja yang mencabar.

"Lebih banyak penguatkuasaan dan denda yang lebih ketat mesti dilaksanakan bagi memastikan syarikat-syarikat mematuhi amalan-amalan adil dalam mengambil pekerja dan mengutamakan rakyat Singapura sekiranya calon-calon yang diterima setanding," kata Encik Sharael.

Selain itu, beliau menggesa agar golongan kurang upaya dan warga tua diberi peluang adil untuk bekerja.

Menurut Encik Sharael, pandemik ini mengajar kita bahawa dengan bekerja di rumah, para pekerja masih boleh menjadi produktif. Malah ada pekerja yang masih mahu meneruskan bekerja dari rumah dari masa ke masa.

"Hakikatnya, apa yang menarik mengenai cara baru bekerja ini adalah tidak kira siapa pun orangnya yang bekerja dari rumah, warga tua, pekerja pertengahan kerjaya mahupun orang kurang upaya. Kita menemui cara untuk kekal produktif dalam sekitaran baru ini dan mengekalkan keseimbangan hidup dan kerja," kata Encik Sharael.

Maka itu Singapura katanya, harus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang sama bagi warga tua dan orang kurang upaya serta para pengasuh di rumah kerana mereka akan dapat memanfaatkan ciri inklusif pekerjaan tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita