Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penting terus dampingi anak muda, perkukuh inisiatif masyarakat bagi pastikan fahaman radikal tidak racuni minda

Sesiapa sahaja, tanpa mengira usia, kaum mahupun agama boleh terjebak dan menjadi radikal online. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sesiapa sahaja, tanpa mengira usia, kaum mahupun agama boleh terjebak dan menjadi radikal online.

Maka itu, penting bagi semua masyarakat di Singapura terus berwaspada terhadap ancaman dan bahaya fahaman radikal.

Ini sambil memperhebatkan usaha untuk mengukuhkan lagi keharmonian sosial dan agama dan menjalani kehidupan beragama dengan aman dan tenang dalam masyarakat Singapura yang inklusif dan berbilang kaum dan agama.

Ini ditegaskan oleh Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu melalui kenyataannya hari ini (28 Jan) selepas Singapura digemparkan dengan berita mengenai seorang remaja yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang serangan ke atas umat Islam dan dua buah masjid di sini.

Ia turut menyuarakan keprihatinan kerana kes itu melibatkan seorang rakyat Singapura yang baru berusia 16 tahun.

"Perkara ini menunjukkan bahawa kejadian yang berlaku di tempat lain boleh mempengaruhi rakyat Singapura sehingga mereka menjadi radikal dan tergamak melakukan tindakan ganas.

"Dengan akses yang mudah kepada internet dan tarikan media sosial, golongan muda lebih mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang negatif, terutamanya jika tidak mendapatkan bimbingan yang secukupnya," menurut kenyataan itu lagi.

Kes tersebut turut membayangkan betapa mudah serangan pengganas yang dilancarkan oleh Brenton Tarrant ke atas 2 masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac 2019 boleh ditiru di sini.

Tindakan Tarrant menggunakan platform media sosial untuk menyiarkan serangannya secara langsung juga dikhuatiri boleh mempengaruhi dan meracuni pemikiran anak muda.

Lantaran itu, penting untuk pertubuhan-pertubuhan masyarakat terus mendampingi anak muda dan melabur dalam inisiatif-inisiatif yang menyokong aspirasi belia dan membanteras radikalisme dalam kalangan anak muda.

"Sebagai contoh, celik media dan maklumat bagi perbincangan sosial menyokong kemahiran berfikiran secara kritis, sekali gus menerapkan nilai-nilai murni kemanusiaan," menurut Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu.

Dalam pada itu, pertubuhan tersebut juga meluahkan penghargaannya kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) kerana bertindak dengan pantas sebelum remaja itu dapat melaksanakan rancangannya.

Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu menyatakan: "Sebagai sebuah negara sekular, rakyat bebas mengamalkan agama masing-masing dan kami menghargai campur tangan pemerintah sekiranya ada yang bersikap tidak bertolak ansur terhadap agama orang lain." 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan