Penting SG bekerjasama dengan rakan niaga 'kongsi wawasan sama', kata DPM Gan selepas lawatan ke India
Sedang Singapura berdepan dengan landskap yang lebih mencabar, tidak menentu dan bergolak, adalah penting untuk bekerjasama dengan rakan-rakan dagang yang berkongsi "wawasan yang sama" dengan Singapura seperti India untuk meneroka peluang-peluang baharu dan mempertingkatkan bidang-bidang kerjasama, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Rabu (13 Ogos).
Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong mengetuai delegasi Singapura ke New Delhi bagi menghadiri Rundingan Peringkat Menteri India-Singapura yang ketiga. (Gambar MDDI)
Beliau berkata demikian kepada para wartawan dari New Delhi selepas menghadiri Rundingan Menteri India-Singapura ketiga, di mana para pemimpin dari kedua-dua negara membincangkan cara-cara untuk mengeratkan kerjasama antara kedua-dua negara tersebut.
Ini termasuk kerjasama dalam bidang-bidang seperti kemampanan, pendigitalan, pembangunan kemahiran, penjagaan kesihatan dan perubatan, dan pengilangan maju, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan bersama.
Mengulas lanjut mengenai butiran-butiran terperinci tentang kerjasama ini, DPM Gan berkata terdapat perbincangan mengenai penubuhan sebuah pusat latihan semikonduktor serta "ekosistem" di India untuk dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat Singapura. Beliau turut menarik perhatian bahawa rantaian bekalan semikonduktor sangat panjang dan kompleks, biasanya merangkumi beberapa negara.
“Oleh itu, adalah penting bagi kami untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami tanpa mengira tarif,” katanya, sambil merujuk kepada levi 100 peratus yang mungkin dikenakan oleh Amerika ke atas semikonduktor, yang tidak akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang telah membuat komitmen untuk menghasilkannya di Amerika.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada perbincangan dengan India meliputi tarif Amerika ke atas semikonduktor dan farmaseutikal, DPM Gan berkata mereka tidak menyentuh tentang kedua-dua perkara itu.
"Saya rasa India sedang berunding dengan Amerika, jadi kami tidak menyentuh tentang butiran perbincangan mengenai tarif, khususnya mengenai farmaseutikal," kata DPM Gan.
Sungguhpun demikian, memperluaskan dan mengembangkan rantaian bekalan Singapura untuk semikonduktor akan menjadikannya lebih berdaya tahan, kata DPM Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
“Ini juga akan memberi kami lebih banyak pilihan dan lebih banyak alternatif dari segi sumber komponen kami dan tempat kami menjual produk kami.
"Dari segi sumber dan juga pasaran, kita perlu terus berkembang dan mempelbagaikannya, dan India adalah satu alternatif yang sangat menarik bagi kebanyakan syarikat kami," katanya.
Beberapa syarikat dari Singapura berminat untuk melabur dalam industri semikonduktor India yang berkembang pesat, dan menubuhkan ekosistem di sana akan memastikan pekerja India mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pelabur, kata DPM Gan.
Delegasi Singapura ke India juga termasuk Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng dan Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow.
Menteri Kewangan dan Ehwal Korporat India Nirmala Sitharaman, Menteri Ehwal Luar S Jaishankar, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Piyush Goyal, dan Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat, Kereta Api, Penerangan dan Penyiaran Ashwini Vaishnaw turut menyertai rundingan itu.
Para menteri dari Singapura juga mengadakan pertemuan dengan Presiden India Droupadi Murmu untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.
Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, enam pemimpin perniagaan dari Singapura dan 10 dari India turut mengambil bahagian dalam satu lagi forum perniagaan untuk membincangkan cara-cara untuk mengukuhkan perkongsian dan kerjasama antara masyarakat perniagaan dari kedua-dua negara.
JURURAWAT, TAMAN PERINDUSTRIAN DAN NUKLEAR
Singapura dan India turut membincangkan bidang-bidang kerjasama lain, termasuk pusat latihan mengenai penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk industri penerbangan yang dipacu oleh sektor swasta, kerjasama bagi latihan jururawat, taman perindustrian mampan dan tenaga nuklear.
DPM Gan turut menarik perhatian bahawa mungkin terdapat cabaran kerana setiap negara mempunyai rangka kerja dan kepentingan yang tersendiri. Sebagai contoh, walaupun Singapura berminat dengan perniagaan MRO yang boleh menyokong Singapore Airlines (SIA), India juga mahu ia menyokong syarikat-syarikat penerbangan lain.
Begitu juga, syarikat-syarikat Singapura mungkin mahu latihan tersebut memberi tumpuan kepada bidang-bidang tertentu, tetapi India mungkin lebih condong kepada pusat latihan itu memberi perkhidmatan kepada ekonomi yang lebih luas.
Mengenai latihan jururawat, DPM Gan mengatakan bahawa Singapura sudahpun bekerjasama dengan India untuk merekrut jururawat bagi keperluan Singapura.
Memandangkan kurikulum latihan jururawat berbeza dari negara ke negara, jururawat dari India yang datang ke Singapura mungkin memerlukan kursus ulangan, tambahnya.
"Kami sedang bekerjasama dengan institut-institut latihan di India untuk melihat bagaimana kita boleh menyesuaikan dan memperhalusi pendekatan kurikulum dan latihan supaya ia lebih sejajar dengan keperluan Singapura. Jadi saya fikir ini akan meningkatkan aliran jururawat ke Singapura," kata DPM Gan.
Beliau juga berkata Singapura menunjukkan minat terhadap taman perindustrian yang berkaitan dengan kemampanan.
Taman sedemikian akan memberi tumpuan kepada rawatan sisa yang mampan dan menggunakan sumber tenaga yang lebih bersih, dan ingin menarik syarikat-syarikat yang menghasilkan produk-produk mampan.
Ia mungkin ditempatkan di wilayah Rajasthan, tambahnya. Wilayah itu terletak di barat laut India dan berkongsi sempadan dengan Pakistan.
Mengenai tenaga nuklear, Singapura ingin belajar daripada pengalaman India mengendalikan reaktor modular kecil (SMR), memandangkan Singapura sedang mengkaji potensi penggunaan tenaga nuklear, kata DPM Gan.
India mempunyai program tenaga nuklear asli, dengan kebanyakan pembangunan dan pembinaan reaktornya dilakukan di dalam negara itu sendiri.
Setakat sehingga tahun lalu, India mempunyai 24 reaktor yang membekalkan 8,180 megawatt tenaga nuklear, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Pemerintah India juga telah merancang untuk mengoperasikan lima SMR menjelang 2033.
DPM Gan berkata India telah bersetuju untuk membantu agensi-agensi Singapura untuk mengetahui lebih lanjut tentang piawai dan peraturan keselamatan.
"Tetapi ia masih awal, kami masih meneroka pelbagai teknologi kerana sesetengah teknologi masih belum matang," kata DPM Gan. "Kami akan terus memantau perkembangan teknologi nuklear, khususnya dalam bidang tenaga nuklear."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.