Skip to main content

Singapura

Penting sediakan anak-anak untuk pekerjaan masa depan: Zaqy

Kayu ukur kejayaan anak-anak tidak terbatas kepada pencapaian akademik. Juga penting adalah kesediaan mereka untuk pekerjaan masa depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kayu ukur kejayaan anak-anak tidak terbatas kepada pencapaian akademik.

Juga penting adalah kesediaan mereka untuk pekerjaan masa depan.

Demikian kata Timbalan Pengerusi MENDAKI Zaqy Mohamad di majlis penyampaian Anugerah MENDAKI pada Ahad (2 Okt).

Dengan prestasi anak Melayu yang membanggakan, beliau berharap masyarakat dapat memberi sokongan untuk mereka mencapai potensi mereka sepenuhnya.

"Kita harus mempunyai keyakinan, kepercayaan di dalam sistem meritokrasi kita dan pada masa yang sama, sistem pendidikan kita yang dapat membantu anak kita dan anak kita harus yakin di mana mereka harus meraih peluang dalam sistem ini. Dan peluang yang diberi oleh ekonomi kita juga untuk mendapat pencapaian lebih tinggi bukan sahaja di sekolah tapi menceburi bidang-bidang pekerjaan," kata Encik Zaqy.

Semasa majlis yang diadakan di Pusat Budaya Universiti di Universiti Nasional Singapura (NUS), beliau turut mendedahkan lebih 10,000 anugerah diberikan sejak Anugerah MENDAKI dimulakan empat dekad lalu.

GURU INGIN BANTU PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS

Antara 480 penerima Anugerah MENDAKI yang diiktiraf di atas kecemerlangan dalam bidang pendidikan di peringkat nasional ialah Encik Muhammad Azfar Fitri Rashid, 33 tahun, seorang guru berpendidikan khas di Pusat Rainbow.

Beliau mengajar para pelajar berkeperluan khas kemahiran asas untuk jalani kehidupan seharian dengan lebih baik.


(Gambar: Syawal Yusoff)

Apabila ditawarkan mengambil Diploma dalam Pendidikan Khas di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Encik Azfar merebut peluang itu kerana ingin membantu meningkatkan mutu kehidupan golongan tersebut.

"Saya dapat menggunakan strategi teknik pembelajaran langsung kepada pelajar. Ia amat membantu. Ia membolehkan saya memahami para pelajar. Untuk mewujudkan sekitaran inklusif untuk orang-orang keperluan khas. Itu penting untuk saya," kata Encik Azfar.

MAHU BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT


(Gambar: Syawal Yusoff)

Satu-satunya penerima anugerah tahun ini bagi peringkat GCE 'A' kategori madrasah ialah Insyirah Jailani, 19 tahun.

Lulusan Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah itu yang bijak membahagikan masa antara pelajaran dan waktu rehat demi kesejahteraan mentalnya berminat menceburi bidang perhubungan awam suatu hari nanti.

"Cita-cita saya untuk menjadi seorang pakar perhubungan awam iaitu saya dapat menulis atau mengarang berita. Menerima anugerah ini mengingatkan saya bahawa saya mempunyai peranan yang amat besar dalam masyarakat terutama sekali dalam golongan muda iaitu untuk mengispirasikan mereka agar sentiasa menimba ilmu," kata Insyirah.



Seorang lagi penerima yang menunjukkan kesungguhan untuk berbakti kepada masyarakat ialah lulusan daripada Jurusan Sarjana Kesusateraan dalam Pembelajaran Global dan Melayu dari NUS, Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria.

Beliau yang merangkul dua anugerah sekali gus - Anugerah Gemilang MENDAKI dan Anugerah Cemerlang MENDAKI mahu memperjuangkan seni dan kesusateraan Melayu kepada masyarakat.

"Saya akan terus menabur jasa pada masyarakat dengan menggunakan kekuatan saya dalam seni penulisan kreatif dan saya mahu terus berkecimpung dalam industri penulisan dan terus merakam renungan masyarakat dalam segi pantun, cerpen dan juga penulisan lain," kata Aisyah, yang turut menerima Anugerah Gemilang MENDAKI tahun ini.


Semangat yang dipamerkan para penerima ini menunjukkan kesediaan mereka dalam menghadapi perubahan masa hadapan.

Tahun ini juga, majlis penyampaian anugerah dibahagikan kepada dua hari sejak semalam, sempena sambutan ulang tahun ke-40 MENDAKI dan pelancaran bulan Raikan Ilmu.

PROGRAM PENDIGITALAN ANTARA SAJIAN RAIKAN ILMU 2022

Dalam usaha untuk memacu pembelajaran sepanjang hayat, Encik Zaqy berkongsi kegiatan-kegiatan Raikan Ilmu tahun ini akan turut memberi tumpuan kepada program bersifat pendigitalan bagi mempersiapkan golongan muda dan pencari kerja untuk pekerjaan masa hadapan.

Antaranya ialah program pengekodan hasil kerjasama dengan Microsoft dan Google.

Di samping itu, terdapat sebuah program baru bertemakan permainan 'Amazing Race' untuk seisi keluarga yang bakal dilancarkan pada 16 Oktober nanti.

Ia akan diadakan di 11 bandar-bandar M³.



"Kita juga akan melancarkan program pembacaan ataupun "Amazing Read@Heartlands" di semua bandar kita dan kita berharap untuk membawa 500 keluarga bersama kami untuk membawa program-program pembacaan di estet-estet perumahan kita," tambah Encik Zaqy.

Acara tahun ini juga dijangka akan menarik seramai 20,000 pengunjung.

Anda boleh melihat senarai acara-acara Raikan Ilmu di: www.mendaki.org.sg/raikanilmu.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita