Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Penting pastikan tiada segmen masyarakat ketinggalan dalam era transformasi digital', tegas Zaqy Mohamad

Bagaimanakah para pekerja Melayu/Islam dapat terus berdaya saing bagi merebut peluang semasa melalui transformasi digital?

Anggaran Waktu Membaca:
'Penting pastikan tiada segmen masyarakat ketinggalan dalam era transformasi digital', tegas Zaqy Mohamad

(Gambar: Genevieve Loh)

SINGAPURA: Bagaimanakah para pekerja Melayu/Islam dapat terus berdaya saing bagi merebut peluang semasa melalui transformasi digital?

Dan bagaimana pula dapat anggota masyarakat mendorong satu sama lain untuk melangkah keluar dari zon selesa untuk meneroka pekerjaan dalam sektor-sektor yang berkembang maju seperti industri kewangan dan teknologi maklumat.

Persoalan-persoalan itu diutarakan dalam sesi dialog "Meraih Peluang di Era Transformasi Digital" di bawah inisiatif CiptaSama@M³ malam semalam (7 Jan).

Ia merupakan sebahagian daripada siri perbincangan "Singapura Bersama Bangkit Lebih Kukuh" untuk mengumpul pandangan dan maklum balas orang ramai mengenai pelbagai isu negara.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan Zaqy Mohamad yang menerajui inisiatif CiptaSama@M³ menegaskan demikian semalam dan ia juga adalah Bidang Tumpuan Keempat M³ (FA4).

Dialog selama lebih dua jam semalam yang diadakan secara maya disertai para peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk peserta bukan Melayu.

Encik Zaqy berkata ramai peserta menyentuh tentang daya ketahanan masyarakat dalam menempuhi COVID-19, gangguan teknologi dan bagaimana masyarakat Melayu/Islam dapat membuat penyesuaian.

"Kita telah melihat bagaimana rakyat kita bersatu sebagai sebuah masyarakat dalam menghadapi situasi COVID-19 ini."

"Apabila saya berbincang bersama mereka, ramai daripada mereka masih positif bahawa banyak peluang yang dapat diraih dalam situasi hari ini dengan keadaan ekonomi yang suram. Ramai yang yakin kita akan terus menjana pekerjaan dalam ekonomi kita dan dalam cara kita boleh berkembang bersama," kongsi Encik Zaqy di akhir sesi tersebut.

BIMBINGAN KERJAYA AKAN DIPERTINGKAT

Antara saranan yang diusulkan oleh para peserta termasuk dasar-dasar yang memberi sokongan lebih baik kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dan peningkatan kemahiran yang berterusan bagi para pekerja matang.

Salah seorang peserta yang sudah membuat persiapan bagi sebarang kemungkinan ialah Encik Zailani Asral, 47 tahun, seorang arkitek infokom.

Beliau berkongsi bahawa syarikatnya telah melepaskan lima peratus tenaga kerjanya dan gaji beliau turut dipotong sebanyak 10 peratus.

"Tidak semestinya tugas saya selamat. Kita mesti sentiasa bersedia sekiranya apa-apa berlaku, kita sudah mempunyai Pelan B."

Menurutnya lagi, beliau sudahpun meneliti kursus-kursus peningkatan yang ditawarkan dan bersedia beralih ke bidang lain jika perlu.

Dan beliau percaya, pengalaman yang dimilikinya sekarang masih boleh dimanfaatkan kelak.

Encik Zaqy berkata beliau akur bahawa para pekerja matang mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk menimbangkan sama ada mahu beralih ke sektor atau bidang pekerjaan baru.

"Dari pengalaman saya, isu tentang latihan dan peningkatan kemahiran, saya rasa sudah agak mantap dari segi metodologi. Kita melihat ramai rakyat Singapura yang sudah mengambil langkah itu dan menukar pekerjaan mereka kepada sektor yang baru.

"Tetapi buat kali ini, mungkin ada yang kehilangan pekerjaan memerlukan lebih banyak masa untuk membuat pertimbangan adakah ini satu penukaran kerjaya yang mahu mereka lakukan," kata beliau.
Menurut Encik Zaqy, ada juga yang mahu menunggu sehingga COVID-19 berlalu, ekonomi berkembang ataupun pulih semula dan pekerjaan mereka kembali seperti biasa.

Beliau menekankan bahawa keadaan itu adalah sesuatu yang belum pasti dan beliau sebaliknya menggesa para pekerja supaya menimbangkan peluang-peluang dalam sektor baru dari sudut jangka panjang.

"Mendaki SENSE dan juga FA4 ingin mendekati masyarakat supaya kita dapat memberitahu mereka tentang peluang-peluang yang ada dan beri mereka peluang untuk pertimbangkan adakah mereka ingin membuat langkah ini ataupun mereka ingin kekal dalam pekerjaan mereka tetapi dalam keadaan yang tidak menentu. Beralih ke sektor kian berkembang atau pilih untuk kekal dalam pekerjaan yang sama dan melihat apa yang terjadi," kata Encik Zaqy.

PASTIKAN TIADA YANG KETINGGALAN DALAM ERA DIGITAL

"Salah satu kesan daripada pandemik COVID-19 adalah ia telah mempercepatkan transformasi digital. Warga emas, misalnya mungkin perlu diberi perhatian kerana mungkin ada di antara mereka yang tidak begitu mahir atau tidak begitu selesa dengan penggunaan platform-platform digital," kata peserta Cik Nurliyana Daros, 31 tahun.

Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman menggesa masyarakat supaya sama-sama membantu golongan sedemikian.

"Apa yang saya dapati ialah keprihatinan para peserta perbincangan ini mereka akur kita maju ke hadapan dengan proses transformasi digital ini kita harus memastikan golongan yang memerlukan iaitu mereka yang berada dalam golongan bawahan, berpendapatan rendah, berusia senja tidak ketinggalan dan dapat maju bersama."

"Dan ini adalah peluang yang baik untuk memastikan lebih ramai anggota masyarakat kita tampil ke hadapan untuk mendekati golongan yang memerlukan ini supaya golongan dapat menjadi celik digital," gesa Dr Maliki.

Sesi kedua pula akan menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuhkan keluarga Melayu/Islam.

Ia akan dipengerusikan oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam pada Selasa depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan