Penting kerjasama seluruh ekosistem masyarakat Melayu/Islam, perkukuh sokongan buat golongan memerlukan: Dr Syed Harun
This audio is generated by an AI tool.
Selain inisiatif di bawah M³, usaha kolektif masjid-masjid, kumpulan-kumpulan Qaryah, badan-badan Melayu/Islam, kumpulan belia serta para relawan turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh sokongan kepada masyarakat yang memerlukan.
Hakikatnya, setiap pihak memiliki kekuatan dan keupayaan tersendiri untuk menyumbang secara bermakna kepada usaha bersama tersebut.
Ini ditekankan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi dalam ucapannya di Majlis Iftar Amal Ramadan 2026 pada Jumaat (27 Feb), selaku tetamu terhormat.
Sejajar dengan itu, Dr Syed Harun menyifatkan sumbangan yang diterima pada acara iftar amal tersebut sebagai cerminan keprihatinan dan semangat kepedulian masyarakat, bukan sahaja pada bulan Ramadan.
Menurut beliau, usaha itu turut dilaksanakan seiring dengan inisiatif badan-badan lain dalam membantu golongan yang memerlukan, termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Mengulas mengenai penganjuran acara iftar amal tersebut, Setiausaha Agung KHT Pondok Peranakan Gelam Club, Encik Haji Borhan Haji Saini, menyifatkannya sebagai satu kejayaan dalam mengimbau nostalgia masyarakat Pondok Gelam untuk berkumpul dan saling membantu.
Beliau berkata, acara itu turut menjadi wadah untuk "berkongsi rezeki, menyemai kasih sayang serta menghidupkan Ramadan dengan penuh keberkatan".
Seramai 350 menghadiri acara iftar amal itu di The Istana Ballroom 4 di Kinex Mall, yang dianjurkan oleh Kelab Pondok Peranakan Gelam dengan kerjasama oleh Qasa’id Brothers Singapura.
Dana yang terkumpul digunakan untuk membantu sekitar 150 penerima melalui Dana Kita Prihatin Pondok Gelam 2026 dan menyediakan juadah berbuka puasa bagi kira-kira lebih 1,000 jemaah Masjid Malabar setiap hari sepanjang Ramadan.
Yayasan Antica juga menyumbang pakaian raya bagi 50 anak-anak Melayu/Islam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.