Penting kekalkan hubungan negara jiran, lindungi kepentingan negara: PM Lee
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura mesti mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara jirannya walaupun ia perlu menjaga dan mempertahankan kepentingannya sendiri.
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura mesti mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara jirannya walaupun ia perlu menjaga dan mempertahankan kepentingannya sendiri.
PM Lee berkata demikian kepada para pelajar di majlis penyampaian dermasiswa dan anugerah Edusave di kawasan undi Teck Ghee.
Pelajar-pelajar tersebut sudah menunjukkan prestasi baik di sekolah dalam bidang akademik atau kegiatan luar darjah.
Semasa berucap kepada para pelajar dan ibu bapa mereka, PM Lee turut memuji kerja keras mereka. Namun, beliau juga menekankan tentang peri pentingnya untuk mereka juga menimba ilmu di luar bilik darjah dan memahami dunia dengan lebih baik.
"Singapura merupakan sebuah tempat yang aman tetapi kita hidup di dalam dunia yang kompleks, dan Asia Tenggara merupakan sebuah tempat yang kompleks untuk didiami.
"Kita bersahabat dengan jiran-jiran kita tetapi dari semasa ke semasa, kita juga ada isu-isu dengan jiran-jiran kita, timbul masalah dan kita perlu tahu cara menghadapinya antara satu negara dengan negara yang lainnya," katanya.
PM Lee membuat komen tersebut di tengah-tengah pertikaian maritim dan ruang udara dengan Malaysia walaupun beliau tidak merujuk kepada mana-mana negara atau insiden. Beliau menambah bahawa rakyat Singapura perlu menjaga diri sendiri secara bersama-sama, sebagai satu bangsa.
"Baca surat khabar dan tonton televisyen dan anda akan lihat apa yang berlaku di sekeliling kita, anda akan faham dan anda akan pelajari bahawa ini adalah dunia di mana kita perlu membela diri kita sendiri," katanya lagi.
Lebih 500 pelajar yang tinggal di Teck Ghee menerima anugerah dan dermasiswa pada hari kedua acara tersebut yang berlangsung selama dua hari.
Secara keseluruhannya, 1,100 pelajar menerima anugerah dan dermasiswa tersebut.
LAPORAN BERKAITAN:
Sifat kenegaraan, kemasyarakatan penting demi kemajuan S'pura, kata PM Lee
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.