Skip to main content

Singapura

Penting ada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang berupaya dan berwaspada lindungi SG: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Oct 2023 07:34PM Dikemas Kini : 25 Oct 2023 09:03PM
SINGAPURA: Adalah penting untuk mempunyai Jabatan Keselamatan Dalaman (ISD) yang berupaya dan berjaga-jaga untuk melindungi Singapura.

Demikian ditekankan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (24 Okt) sempena sambutan ulangtahun ke-75 ISD.

"Ia bukan satu kebetulan" Singapura berjaya dalam menangani ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan domestik, kata PM Lee, dalam mengetengahkan tiga isu keselamatan yang dihadapi Singapura - ancaman pengganasan, bahaya yang timbul disebabkan operasi pengaruh luar dan kelemahan domestik.

Dengan kerencaman kaum dan agama di Singapura, negara ini akan mempunyai garis-garis keretakan, menurut Encik Lee dalam ucapannya di jamuan makan malam gala ulang tahun ke-75 ISD di Ritz Carlton.

Kelemahan domestik lantaran itu, menjadi tumpuan utama ISD.

Memetik contoh berhubung ketegangan Amerika-China, Encik Lee berkata rakyat Singapura berbangsa Cina, terutama sekali yang lebih tua, lebih cenderung untuk mempunyai pandangan yang berbeza berbanding warga Singapura yang lain.

Dan apabila keganasan semakin meruncing di Timur Tengah, ia sekali gus menimbulkan reaksi ketara di Asia Tenggara dan bahkan, menjangkaui rantau itu.

"Konflik Israel-Hamas yang sedang berterusan terutama sekali menjadi isu emotif bagi rakyat Muslim Singapura, yang bersimpati dengan keperitan yang dilalui para penduduk Palestin, seperti masyarakat Muslim di merata dunia. Dan pada masa yang sama, beberapa segmen masyarakat Yahudi dan Kristian kami juga menyuarakan kebimbangan yang serupa," kata Encik Lee.

"Kesemua perbezaan ini adalah satu realiti yang perlu diiktiraf dan diterima. Ia mengingatkan kita untuk terus memantau hubungan kaum dan agama dengan berhati-hati kerana kesalahfahaman dan pergeseran masih boleh timbul, dan menyebabkan masalah-masalah serius jika tidak ditangani dengan betul."

Selain kaum dan agama, terdapat pembezaan sosial yang kian muncul, seperti ketegangan antara rakyat dan bukan rakyat Singapura yang menetap dan bekerja di sini. Beberapa kumpulan itu menyokong tujuan yang berlainan, memperjuangkan sesuatu dengan lantang dan menggunakan taktik tekanan yang dipelajari dari tempat-tempat lain, memecahbelahkan mereka yang menyokong dan menentang perjuangan mereka, kata Encik Lee.

"Di sinilah ISD memainkan peranan yang penting di belakang tabir, menyediakan maklumat tepat pada masanya dan penilaian yang berwawasan kepada pemerintah, menjangkaui apa yang ada dalam domain awam atau media sosial," tambahnya.

PENGGANASAN

Berhubung isu pengganasan, Encik Lee menarik perhatian bahawa ancaman daripada kumpulan militan transnasional berubah-ubah tetapi berterusan, meskipun sudah 22 tahun sejak insiden 9/11.

"Kumpulan berbahaya terus beroperasi di kejiranan kami, termasuk di Indonesia, Filipina dan bahagian-bahagian lain Asia Tenggara," kata Encik Lee.

"Kami menganggap bahaya ini dengan serius kerana satu tindakan mengganas boleh memecahbelahkan keharmonian kaum dan agama dan kepercayaan yang kami bina dengan susah payah sepanjang beberapa dekad lalu. Kami telah melihat ini berlaku terlalu kerap di negara-negara lain," kata Encik Lee.

"Di sinilah di mana ISD memainkan peranan - untuk memastikan rakyat kita tidak diperangkap dengan ideologi ekstrim, atau terlibat dalam pertelingkahan yang bukan milik kita, untuk menyemai huru-hara di dalam masyarakat kita."

PENGARUH LUAR DAN PENGINTIPAN

Ancaman ketiga yang dibangkitkan Encik Lee ialah pengaruh luar dan perisikan, di mana beliau menyifatkannya sebagai "ancaman yang tersembunyi dan berbahaya yang menanti dalam bayangan".

"ISD menangani pihak asing yang berusaha untuk menjatuhkan kita, meningkatkan operasi tekanan bagi memperdaya kami, atau menjalankan perisikan untuk mendapatkan maklumat paling sulit kami," ujar Encik Lee.

Beliau sedia maklum bahawa operasi perisikan itu telah bertambah rumit, sedang ia beralih ke ruang siber.

"Kita perlu kekal berwaspada terhadap pengaruh dan operasi perisikan sedemikian. Musuh kami mempunyai sumber yang baik dan bertekad. ISD merupakan angkatan pertahanan di barisan hadapan dan mesti berupaya dan pintar dalam menentukan jalan yang terbaik untuk menangani ancaman ini," tambah Encik Lee.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita