Penternak ikan, 23 tahun, dijel dan dirotan kerana edar ganja
Seorang lelaki 23 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan sembilan bulan serta lima sebatan oleh sebuah mahkamah daerah pada Selasa (29 Jun) kerana mengedar dan memiliki dadah-dadah terkawal termasuk ganja.
(Gambar hiasan: Unsplash)
SINGAPURA: Seorang lelaki 23 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan sembilan bulan serta lima sebatan oleh sebuah mahkamah daerah pada Selasa (29 Jun) kerana mengedar dan memiliki dadah-dadah terkawal termasuk ganja.
Derek Koh Kai Sheng mengaku bersalah atas setiap satu tuduhan mengedar ganja, memiliki LSD dan peralatan yang digunakan untuk mengambil dadah. Tiga lagi tuduhan berhubung dadah juga diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Pearly Ang memberitahu mahkamah bahawa Koh bekerja sendiri sebagai penternak ikan sewaktu ditahan pada 4 Disember 2019. Dia mengambil ganja bagi tujuan riadah sejak berusia 18 tahun.
Pihak pendakwa tidak menyatakan bagaimana Koh ditahan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) di rumahnya di Buangkok Crescent. Namun, beliau berkata para pegawai merampas bukti-bukti berhubung tuduhan ke atas Koh, termasuk sekurang-kurangnya 77.26g ganja.
Semasa siasatan, Koh mendedahkan bahawa dia membeli ganja daripada seorang pembekal yang dikenali sebagai "Joe" atau "Joey Joe" dan berniat untuk menjual semula kepada orang lain dalam bungkusan berharga S$350 setiap satu. Namun, DPP Ang tidak menerangkan saiz setiap bungkusan ganja tersebut.
Antara bukti-bukti lain yang dirampas dari rumah Koh adalah sekeping kertas dengan dua cop yang dianalisis oleh Makmal Dadah Haram Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan didapati mengandungi LSD.
Koh mengaku dia memiliki LSD untuk kegunaan sendiri sejak mula menggunakannya sekitar September tahun lalu.
Hukuman minimum mandatori bagi kesalahan mengedar ganja adalah lima tahun penjara dan lima sebatan. Hukuman maksimum pula adalah 20 tahun penjara dan 15 sebatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.