Skip to main content

Singapura

Pentadbiran Awam, Kesihatan antara 5 sektor pekerjaan utama siswazah Melayu; lebih 90% ialah PMET

Anggaran Waktu Membaca:
Pentadbiran Awam, Kesihatan antara 5 sektor pekerjaan utama siswazah Melayu; lebih 90% ialah PMET

Lebih 90% siswazah Melayu yang bekerja merupakan golongan Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen (PMET). (Gambar fail: Today)

Diterbitkan : 04 Aug 2026 07:58PM
SINGAPURA: Pentadbiran Awam dan Pendidikan, Kesihatan dan Khidmat Sosial, Khidmat Profesional, Khidmat Kewangan dan Insurans serta Perdagangan Borong dan Runcit merupakan lima sektor pekerjaan utama yang diceburi siswazah Melayu, menurut data Tinjauan Isi Rumah 2025.

Corak tersebut secara umumnya mencerminkan sektor pekerjaan utama bagi semua siswazah universiti.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Anggota Parlimen GRC Sengkang, Abdul Muhaimin Abdul Malik di parlimen pada Selasa (4 Ogos), mengenai jenis pekerjaan yang lazim diceburi siswazah Melayu generasi pertama.

Ini menyusuli laporan mengenai mobiliti antara generasi oleh Kajian Pusat Penyelidikan Ehwal Islam dan Melayu (RIMA).

Encik Zaqy menjelaskan bahawa pemerintah tidak menjejak pekerjaan siswazah berdasarkan sama ada mereka merupakan siswazah generasi pertama.

Menurut beliau, Tinjauan Isi Rumah mengumpulkan maklumat seperti kelayakan akademik tertinggi, industri pekerjaan, jenis pekerjaan, status pekerjaan, tempoh masa kerja serta pendapatan kasar bulanan.

"Berdasarkan Tinjauan Isi Rumah 2025, bagi siswazah Melayu yang bekerja (iaitu mereka yang memiliki kelayakan akademik tertinggi di peringkat universiti), lebih sembilan daripada 10 merupakan golongan Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen (PMET)," kata Encik Zaqy.

"Sekitar sembilan daripada 10 siswazah Melayu yang bekerja merupakan pekerja bergaji, manakala selebihnya terdiri daripada majikan atau pekerja sendiri (iaitu individu yang mengendalikan perniagaan atau perusahaan sendiri tanpa menggajikan pekerja). Trend ini adalah setanding dengan corak dalam kalangan penduduk secara keseluruhan," tambahnya lagi.

Encik Muhaimin turut bertanya sama ada MENDAKI mengumpul data tentang bilangan siswazah Melayu generasi pertama bagi setiap tahun akademik, dan jika ada, berapa ramai daripada mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah atau merupakan penerima skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS).

Menjawab secara bertulis, Encik Zaqy berkata MENDAKI tidak melakukan demikian.

"Skim Subsidi Yuran Pengajian Peringkat Tertiari (TTFS) telah menyokong sekitar 10,000 pelajar Melayu setiap tahun sepanjang lima tahun lalu. Awal tahun ini, kriteria kelayakan pendapatan bagi semua peringkat skim tersebut telah disemak semula bagi menyediakan sokongan yang lebih besar kepada isi rumah berpendapatan rendah. MENDAKI tidak menjejak bilangan siswazah Melayu generasi pertama," kata Encik Zaqy.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita