Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pentadbir Wake Up Singapore didakwa atas tuduhan fitnah berkait rencana kes keguguran di KKH

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Apr 2024 12:38PM Dikemas Kini : 24 Apr 2024 11:13PM
SINGAPURA: Pentadbir Wake Up Singapore (WUSG) didakwa pada Rabu (24 Apr) atas kesalahan menerbitkan rencana online mengenai insiden keguguran yang dikatakan berlaku di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar, 26 tahun, berdepan satu tuduhan fitnah di bawah Kanun Keseksaan.
Kertas pertuduhannya menyatakan dia memfitnah KKH pada 23 Mac 2022 dengan menerbitkan "tohmahan melibatkan KKH" menerusi rencana bertajuk "The baby is probably dead - Woman shares a harrowing account of her miscarriage at KKH A&E" di laman Wake Up Singapore (WUSG) serta laman Facebook dan Instagramnya.

Ariffin diwakili oleh peguam Gino Hardial Singh, yang meminta masa untuk membuat perwakilan. Tiada tanda pihaknya membuat sebarang rayuan.

Kesnya akan kembali dibicarakan di mahkamah pada 24 Mei.

Menurut kenyataan media Pasukan Polis Singapura (SPF) sebelum ini, rencana tersebut mendakwa salah urus khidmat jagaan kesihatan KKH menyebabkan seorang pesakit wanita mengalami keguguran selepas empat jam menunggu untuk mendapatkan rawatan COVID-19 dan sakit perut di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan KKH pada 28 Februari 2022.

Hospital itu membuat aduan polis selang dua hari selepas ia diterbitkan.

Siasatan mendapati Ariffin dipercayai pentadbir laman WUSG, Facebook dan akaun Instagramnya dan bahawa dakwaan dalam rencana tersebut tidak benar.

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa, Ariffin yang kini merupakan seorang eksekutif undang-undang, mengesahkan bahawa dia adalah pengasas WUSG.

Jika didapati bersalah memfitnah, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

WAKE UP SINGAPORE MOHON MAAF

Sumber berita alternatif itu memohon maaf kerana menerbitkan dakwaan wanita terbabit selepas dia mengaku berbohong. Ia memuat naik catatan pemohonan maaf di platform media sosialnya pada 25 Mac 2022.

"Kami menyedari bahawa log panggilan, invois dan surat-menyurat pesakit, semuanya mungkin telah disunting," dedah kenyataan tersebut.

Ia juga mengeluarkan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Mac 2022.

Kementerian Kesihatan (MOH) ketika itu menyatakan KKH sudahpun mengenal pasti pesakit terbabit dan mendapati wanita tersebut sudah diperiksa doktor dalam masa sejam selepas ketibaannya di KKH pada Februari. Dia juga tidak mengalami sebarang keguguran.

WUSG memuat naik notis pembetulan di Facebook dan Instagram tidak lama selepas MOH mengeluarkan kenyataan medianya dan catatan asal sudahpun dipadamkan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan