Pentadbir Wake Up Singapore akan didakwa atas tuduhan fitnah berhubung rencana kes keguguran di KKH
Seorang lelaki berusia 26 tahun akan didakwa di mahkamah pada Rabu (24 Apr) atas pelibatannya dalam penerbitan rencana online yang menyebarkan "kisah palsu" mengenai keguguran yang berlaku di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

(Gambar: Facebook/Wake Up, Singapore, Facebook/Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK)
Hospital itu membuat aduan polis terhadap rencana yang diterbitkan pada Mac 2022, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya hari ini (23 Apr).
Rencana bertajuk "The baby is probably dead - Woman shares a harrowing account of her miscarriage at KKH A&E", diterbitkan di laman Wake Up Singapore (WUSG) serta laman Facebook dan Instagramnya.
"Rencana itu mendakwa salah urus khidmat jagaan kesihatan KKH menyebabkan seorang pesakit wanita mengalami keguguran selepas empat jam menunggu untuk rawatan COVID-19 dan sakit perut di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan KKH pada 28 Februari 2022," menurut SPF.
Sebaik menerima aduan polis daripada KKH, SPF menyatakan ia mendapatkan nasihat Pejabat Peguam Negara (AGC) dan telah diberikan kuasa untuk menyiasat kes itu.
"Siasatan mendapati seorang lelaki berusia 26 tahun yang kononnya adalah pentadbir laman web WUSG, Facebook dan halaman Instagramnya. Siasatan seterusnya mendapati dakwaan dalam artikel tersebut adalah tidak benar."
Sumber berita alternatif itu juga telah dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Mac 2022.
"Dakwaan itu adalah palsu," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada ketika itu.
"KKH telah mengenal pasti pesakit tersebut, berdasarkan petikan skrin bil hospital yang mengiringi catatan WUSG, di mana ia mengandungi percanggahan dengan keterangan pesakit.
"Siasatan lanjut oleh KKH mengesahkan bahawa pesakit itu berjumpa dengan doktor sejam selepas beliau tiba di KKH pada Februari 2022, dan beliau tidak mengalami sebarang keguguran."
WUSG memuat naik notis pembetulan di Facebook dan Instagram tidak lama selepas MOH mengeluarkan kenyataan medianya. Catatan asal sudahpun dipadamkan.
Dalam catatan permohonan maaf yang berasingan, wadah itu menyatakan ia menyedari bahawa "ia telah diberikan maklumat palsu".
"Kami menyedari bahawa log panggilan, invois dan surat-menyurat pesakit, semuanya mungkin telah disunting," dedah kenyataan tersebut.
Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Rabu atas tuduhan memfitnah. Jika didapati bersalah kerana memfitnah, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.