Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pensyarah NUS 'benar-benar mohon maaf' atas rencana yang ditulis tentang kontroversi politik SG, tarik balik dari laman

Anggaran Waktu Membaca:
Pensyarah NUS 'benar-benar mohon maaf' atas rencana yang ditulis tentang kontroversi politik SG, tarik balik dari laman

Petikan gambar laman East Asia Forum pada 18 Sep 2023 menunjukkan rencana ditulis Dr Chan Ying-Kit sudah diturunkan.

SINGAPURA: Dr Chan Ying-Kit memohon maaf berhubung rencana yang ditulis buat East Asia Forum - laman akademik Australia yang dikenakan arahan pembetulan POFMA dari sebuah agensi pemerintah Singapura pada 13 September lalu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada lewat Isnin (18 Sep), pensyarah tempatan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu menulis menerusi satu kenyataan bahawa komentar berjudul “A spate of scandals strikes Singapore” (Rentetan skandal melanda Singapura) yang diterbitkan pada 18 Ogos, sudah ditarik balik daripada laman terbabit.

Dr Chan berkata beliau "benar-benar memohon maaf" atas kesilapan, perbuatan tidak melakukan yang wajib dan kenyataan tidak benar dalam rencananya, yang ditulis atas inisiatifnya sendiri, tanpa pengetahuan NUS.

"Saya menyesal dan benar-benar memohon maaf kepada Perdana Menteri, CPIB (Biro Siasatan Amalan Rasuah), NUS, dan semua pihak yang saya namakan (dalam rencana) atas tindakan dan kesulitan yang disebabkan oleh rencana itu."

Pada 13 September, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) agar mengeluarkan arahan pembetulan kepada East Asia Forum bagi satu rencana, yang menurutnya mengandungi banyak kenyataan tidak benar mengenai kontroversi-kontroversi politik yang berlaku di Singapura baru-baru ini.

Kontroversi yang dimaksudkan termasuk mengenai penyewaan banglo di Ridout Road oleh dua menteri Kabinet, hubungan sulit antara mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dengan Anggota Parlimen Cheng Li Hui yang mendorong mereka meletak jawatan, dan siasatan CPIB terhadap Menteri Pengangkutan S Iswaran.
Kepalsuan yang ditulis adalah berkaitan kebebasan CPIB dan pendekatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam menghuraikan beberapa perkara tertentu.

Mengulas tentang perkara yang ditulis tentang CPIB dalam rencananya, Dr Chan berkata bahawa beliau "gagal mempertimbangkan hakikat bahawa pemerintah mengambil pendekatan berbeza dalam menangani dakwaan rasuah dan salah laku dalam kehidupan peribadi, dan juga PM sememangnya tidak mencampuradukkan isu rasuah dengan isu kecurangan dalam rumah tangga".

"Saya juga gagal untuk menyebutkan bahawa ada langkah berjaga-jaga yang dilaksanakan demi memastikan CPIB boleh menjalankan siasatan dan membuat keputusan secara bebas."

Beliau turut mengulas tentang komennya mengenai pembelian hartanah oleh Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew dan Encik Lee Hsien Loong, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, di mana mereka diberikan diskaun tanpa diminta oleh Hotel Propeties Limited.

Dr Chan mengakui bahawa beliau terlepas pandang tentang perbahasan-perbahasan parlimen yang membentangkan semua fakta dalam insiden itu.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan