Pensyarah Kolej Tembusu NUS dipecat ekoran 2 aduan kelakuan tidak wajar
Universiti Nasional Singapura (NUS) memecat seorang pensyarah menyusuli satu siasatan dalaman, menurut seorang jurucakap dari universiti berkenaan pada Ahad (18 Okt).

Jeremy Fernando (Gambar: NUS)
SINGAPURA: Universiti Nasional Singapura (NUS) memecat seorang pensyarah menyusuli satu siasatan dalaman, menurut seorang jurucakap dari universiti berkenaan pada Ahad (18 Okt).
Dr Jeremy Fernando, yang mengajar di Tembusu College di NUS, didapati "tidak memenuhi piawai profesionalisme yang dijangkakan oleh universiti itu dari para tenaga pengajar", menurut universiti itu sebagai menjawab pertanyaan oleh Mediacorp.
NUS menjalankan siasatan selepas ia menerima dua aduan bahawa Dr Fernando berkelakuan "tidak wajar" sebagai seorang tenaga pengajar.
Namun, pihak universiti tidak mendedahkan butiran aduan atau hasil dapatan daripada siasatan dalaman kerana hal berkaitan kakitangan adalah isu dalaman dan dirahsiakan, katanya.
Menurut jurucakap itu, "NUS sedang menyediakan bantuan dan sokongan kepada mereka yang terjejas oleh hal berkenaan."
Satu memo dalaman oleh kolej itu dihantar kepada para pelajar pada Ahad oleh Ketua Kolej Tembusu, Profesor Madya Kelvin Pang.
Memo itu yang dilihat oleh Mediacorp, menyatakan bahawa timbul spekulasi dalam kalangan pelajar mengenai ketiadaan Dr Fernando.
"Sila maklum bahawa keselamatan dan kebajikan anda adalah dan sentiasa menjadi keutamaan dalam apa yang kami lakukan," kata Profesor Madya Pang.
"Jika anda mempunyai pertanyaan lanjut, sila hubungi saya secara langsung dan jika sesiapa daripada anda memerlukan sokongan, sila hubungi mana-mana penyelia atau anggota pentadbir kampus. Kami bersedia untuk anda."
Kolej Tembusu adalah sebuah program asrama oleh NUS di mana para pelajar menetap dan belajar bersama-sama di bawah satu bumbung. Dr Fernando merupakan tenaga pengajar yang tidak menetap di asrama itu, kata seorang jurucakap NUS.
Berdasarkan senarai pengalaman kerja yang terdapat online, Dr Fernando merupakan seorang pensyarah kesusasteraan dan zamil di kolej itu dari September 2011 dan juga mengajar di sekolah-sekolah lain di NTU.
Beliau merupakan Zamil Jean Baudrillard di European Graduate Schoold di Switzerland dan pengasas bersama syarikat penerbitan bebas Delere Press.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.