Skip to main content

Singapura

Pensijilan sahaja mungkin tidak cukup untuk pastikan penggunaan selamat PMA, menurut ahli terapi tempatan

Penggunaan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) secara selamat masih menjadi cabaran bagi sesetengah individu, khususnya golongan lebih berusia dan mereka yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan, menurut beberapa ahli terapi tempatan kepada Mediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:
Pensijilan sahaja mungkin tidak cukup untuk pastikan penggunaan selamat PMA, menurut ahli terapi tempatan

Seorang pengguna alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) menjalani sesi latihan bersama seorang ahli terapi dari Hospital Tan Tock Seng, Cik Huang Huixin. (Gambar: CNA)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 02:22PM
SINGAPURA: Penggunaan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) secara selamat masih menjadi cabaran bagi sesetengah individu, khususnya golongan lebih berusia dan mereka yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan, menurut beberapa ahli terapi tempatan kepada Mediacorp.

Mereka berkata golongan tersebut mungkin memerlukan penilaian dan latihan yang lebih menyeluruh, meskipun mereka menjalani proses pensijilan di bawah peraturan diperketatkan, yang mula berkuat kuasa pada Isnin (1 Jun).

Di bawah peraturan baharu itu, pengguna PMA kini perlu mendapatkan sijil keperluan perubatan daripada doktor atau ahli terapi yang berdaftar di Singapura. Pengecualian diberikan kepada individu yang layak seperti warga emas yang berusia 70 tahun dan ke atas.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), lebih 1,000 sijil sedemikian telah dikeluarkan setakat ini.

LEBIH RAMAI PESAKIT DATANG UNTUK MENJALANI PENILAIAN

Di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), ahli terapi yang menilai keupayaan pengguna PMA dalam mengendalikan skuter bermotor secara selamat menerima sekitar 20 hingga 25 pesakit setiap minggu dalam tempoh beberapa minggu sebelum peraturan baharu itu berkuat kuasa.

Jumlah tersebut kini meningkat sekitar 35 peratus berbanding beberapa bulan sebelumnya.

Dalam sesetengah kes, para pengguna dirujuk oleh doktor yang sudah pun mengeluarkan sijil keperluan perubatan.

Sebagai contoh, ahli terapi boleh menolak sijil tersebut jika mereka mendapati pengguna yang disahkan memerlukan PMA itu tidak mempunyai fungsi kognitif yang baik dan tidak sesuai untuk menggunakan alat tersebut.

Walaupun sesetengah pengguna boleh disahkan selamat untuk menggunakan PMA selepas hanya dua sesi penilaian, ada yang memerlukan penilaian dan latihan tambahan.

Para pesakit yang mempunyai masalah kesihatan yang lebih kompleks mungkin menghadapi kesukaran untuk mengendalikan PMA secara selamat, kata ahli terapi utama TTSH, Huang Huixin.

"Salah satu cabaran yang kami hadapi ialah pesakit yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan, (yang boleh) menjejas pertimbangan dan keupayaan mereka untuk mengendalikan skuter bermotor dengan selamat," kata beliau.

"Kami akan menilai sama ada mereka boleh mengingati cara untuk mengendalikan peranti itu, sama ada mereka mampu memperlahankan kenderaan apabila menghampiri halangan, dan sama ada mereka mengekalkan jarak yang selamat dengan orang lain semasa bergerak."

Antara kemahiran lain yang dinilai termasuk melakukan pusingan tiga penjuru, menaiki bas dan berhenti dengan selamat ketika menaiki cerun.

Pesakit yang memerlukan latihan tambahan lazimnya perlu menghadiri antara empat hingga lima sesi sebelum disahkan layak untuk menggunakan PMA, kata Cik Huang.

Ahli terapi merupakan antara karyawan penjagaan kesihatan yang diberi kuasa untuk mengeluarkan sijil keperluan perubatan, selain doktor di lebih 200 klinik doktor swasta (GP) yang mengambil bahagian.

Bagaimanapun, Cik Huang berkata masih terdapat kekeliruan dalam kalangan pengguna mengenai pihak yang sepatutnya mengeluarkan sijil tersebut.

"Kami ada kes di mana sijil sudah pun dikeluarkan, tetapi mereka kembali kepada doktor kerana menyangka mereka akan diberikan surat atau memo yang boleh dibawa bersama dan ditunjukkan kepada pegawai penguat kuasa jika mereka dihentikan di tempat awam," kata beliau.

Cik Huang menambah para pesakit dimaklumkan bahawa proses pensijilan itu dilakukan secara digital dan status mereka lazimnya akan dikemas kini dalam tempoh seminggu.

BUKAN SEMUA LULUS PENILAIAN

Dr Benjamin Lim, ahli terapi utama di NTUC Health, berkata bukan semua pengguna yang menjalani penilaian akhirnya disahkan layak untuk menggunakan PMA.

"Kami mempunyai agak ramai warga emas yang tidak berjaya dalam penilaian mereka. Kebanyakan mereka yang tidak lulus penilaian berdepan masalah fungsi kognitif yang menjejaskan keupayaan mereka untuk menggunakan peranti bermotor dengan selamat," kata beliau.

Dr Lim berkata ahli terapi seperti dirinya akan bekerjasama dengan pesakit sedemikian untuk membantu meningkatkan keupayaan kognitif mereka.

Sebaik sahaja fungsi tersebut pulih, mereka boleh menyambung semula latihan dan akhirnya kembali menggunakan peranti berkenaan.

Dr Lim turut menarik perhatian meskipun penilaian dapat menentukan sama ada seseorang itu boleh mengendalikan PMA dengan selamat, keadaan individu tersebut boleh berubah dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, sesetengah pengguna mungkin mengalami masalah kesihatan atau mobiliti pada masa hadapan yang menjejaskan keupayaan mereka untuk menggunakan peranti itu dengan selamat.

Oleh itu, beliau menggalakkan para pengguna PMA supaya menjalani penilaian secara berkala, meskipun penilaian tahunan tidak diwajibkan buat masa ini.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita