Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penonton kembali meriahkan Konsert Sinar Lebaran 2023 di teater setelah 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Rancangan 'Sinar Lebaran' tahun ini lebih meriah dengan kehadiran para penonton di teater.

Ini setelah tiga tahun rakaman itu berlangsung dengan sekatan-sekatan COVID-19.

"Setelah tiga tahun tidak dapat bersama para penonton secara langsung di teater kami, inilah kali pertama setelah dibuka kepada para penonton untuk datang beramai-ramai untuk meraikan suasana Hari Raya dalam rancangan Sinar Lebaran ini, itu saya rasa satu perbezaan yang amat ketara," kata Ketua Eaglevision dan Perhubungan Komuniti Melayu Mediacorp, Sabariah Ramilan.

Dengan tema "Raya Untukmu", para penonton boleh menjangkakan persembahan menarik dan tidak kering gusi oleh artis dalam dan luar negara pada malam raya ini (21 Apr).

Para penari Sriwana dan Sri Warisan serta Orkestra Melayu Singapura turut semarakkan lagi suasana konsert itu.
(Gambar: Mediacorp)
KAK LINA POM-POM JUMPA KELUARGA HASSAN

Selain artis tempatan, konsert tahun ini juga menampilkan penghibur dari seberang tambak, Elly Mazlein dan Hael Husaini.

Elly Mazlein yang lebih dikenali sebagai "Kak lina pom pom" menghiburkan penonton dengan aksi lawak dan bakat nyanyiannya mendendangkan lagu Hari Raya.

Hael Hussaini turut teruja apabila mendapat tawaran menjadi artis undangan konsert Sinar Lebaran 2023.
(Gambar: Mediacorp)
"Ini kali pertama untuk mendapat undangan khas melakukan konsert Sinar Lebaran tahun ini. Jadi semestinya saya rasa teruja dan berbangga kerana dipilih daripada Malaysia, mewakili Malaysia dan menyambut Hari Raya bersama dengan rakyat-rakyat Singapura. Program Sinar Lebaran ini, mereka menyediakan satu program yang terbaik untuk anda, menyambut raya bersama keluarga." kata penyanyi, Hael Husaini.

Selain persembahan daripada artis-artis baru, penyanyi 'otai' kumpulan Black Dog Bone, Jatt Ali bakal menghiburkan penonton dengan lagu "Cahaya di Aidilfitri".

Ia antara persembahan kemuncak yang diharap dapat ubati rindu peminat mendengar lagu itu dinyanyikan sendiri oleh Jatt Ali.
(Gambar: Mediacorp)
SKETSA KOMEDI SINAR LEBARAN

Selain persembahan nyanyian, para penonton juga akan pecah perut dengan telatah dengan persembahan sketsa "Keluarga Hassan" oleh Khairudin Samsudin dan Suhaimi Yusof.

Watak-watak dalam sketsa tersebut diperkenalkan pada tahun 2014 dalam rancangan Sinar Lebaran.

Namun tahun ini, mereka kembali dan jalan cerita keluarga mereka dikembangkan dengan kisah watak menantu dan ibu mertuanya yang dipegang oleh Nurul Aini dan Nurul Huda.

"Maklum sahaja mak mertua dan anak menantu seringkali bertelingkah untuk sambut Hari Raya dan dua-dua pula merajuk. Jadi tugas untuk suami dan juga bapa adalah untuk memujuk dan ketika itulah kita dapat satu kejutan. Jadi kalau anda ingin tahu kejutan apa, harus tonton sendiri," kongsi pelawak Suhaimi Yusof yang memegang watak Hassan.
(Gambar: Mediacorp)
Sepanjang dua jam, 'Sinar Lebaran 2023' akan menghiburkan malam raya penonton bermula jam 9.00 malam pada Jumaat (21 Apr).

Bagi yang terlepas menyaksikannya di SURIA, mereka boleh menontonnya di meWATCH dan di YouTube Mediacorp Entertainment.
(Gambar: Mediacorp)
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan