Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penolong Profesor SMU undur diri selepas dituduh palsukan tuntutan akademik

Anggaran Waktu Membaca:
Penolong Profesor SMU undur diri selepas dituduh palsukan tuntutan akademik

Gambar: LinkedIn/Margaret Zhu

SINGAPURA: Universiti Pengurusan Singapura (SMU) sedang menyemak prosedur pemeriksaannya terhadap penulisan akademik selepas seorang penolong profesor kewangan didapati telah memalsukan tuntutan akademiknya.

Menurut jurucakap SMU pada Jumaat (6 Mei), khidmat Cik Margaret Zhu dengan universiti tersebut dihentikan berkuat kuasa 1 Mei.

"Pihak universiti sudah berusaha untuk mengesahkan beberapa keprihatinan kami berhubung kes ini dan kami merumuskan bahawa sesetengah tuntutan akademik yang dibuat oleh individu berkenaan adalah tidak tepat," dedah jurucakap itu.

SMU bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada Cik Zhu sudah meletak jawatan atau dipecat.

Apabila Mediacorp cuba memeriksa profil akademik Cik Zhu pada Jumaat, halaman itu tidak dapat dimuat turun.

Menurut halaman LinkedIn Cik Zhu, dia menyertai SMU pada Julai 2021 dan sebelum itu pernah menyandang jawatan sebagai penolong profesor kewangan di The Chinese University of Hong Kong (CUHK) dari September 2019 hingga Julai 2021 dan seorang penolong profesor di City University of Hong Kong dari Ogos 2011 hingga Ogos 2019.

Kes Cik Zhu pertama kali dilaporkan oleh The Business Times pada Jumaat.

Dia dipercayai berbohong kononnya menerima kelulusan bersyarat untuk dua kertas kerja bertajuk "Real Effects of Corporate Hedging" dan "Corporate Derivatives Hedging in the Past Two Decades", masing-masing daripada Journal of Finance dan Review of Financial Studies.

Bagaimanapun, emel antara seorang penulis blog, Christopher Brunet, dengan kedua-dua penerbitan tersebut mendedahkan bahawa kertas kerja Cik Zhu tidak diterima oleh kedua-dua pihak.

"SMU mematuhi piawaian yang ketat dalam proses pengambilan tenaga pengajarnya kerana mutu fakulti di SMU sangat penting dalam usaha universiti ini untuk menawarkan pendidikan yang bermutu tinggi, di samping menjalankan kajian yang menyeluruh. Kami mengharapkan para anggota fakulti akan sentiasa menunjukkan integriti dalam tatalaku mereka," tegas jurucakap SMU.

"SMU akan menyemak prosedur pemeriksaan kami berhubung penulisan akademik dan akan memperbetulkan sebarang kelemahan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang lagi."

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan