Penolong jururawat kanan NCCS Zulfa Anas terima Anugerah 'Superstar'
SINGAPURA: Dedikasi kakitangan jagaan kesihatan yang satu ini begitu luar biasa. Pada luar waktu kerja, Cik Zulfa Anas, 53 tahun, tidak sahaja sanggup berkunjung ke rumah seorang pesakitnya.
Penolong jururawat kanan itu malah membersihkan, memasak dan menguruskan pengebumian pesakit berkenaan yang hidup sebatang kara.
Semua itu Cik Zulfa lakukan sedangkan beliau tidak ada sebarang ikatan pun dengan pesakit tersebut - kecuali sekadar hubungan antara seorang penolong jururawat dengan pesakitnya.
Ibu dua anak itu, yang bekerja di Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), sebenarnya mempunyai masalah kesihatannya sendiri dan tidak boleh berdiri lama. Cik Zulfa mengalami masalah ini setelah menjalani dua pembedahan pada bahagian tulang pinggulnya akibat barah tulang yang pernah dihidapi.
Jadi bayangkan betapa besar dedikasi Cik Zulfa. Walaupun bekerja secara sambilan dan berdepan masalah kesihatan, penolong jururawat ini tidak sesekali teragak-agak membantu pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan.
Pada Selasa (8 Feb), Cik Zulfa dalam kalangan lapan pekerja kesihatan yang menerima Anugerah 'Superstar' dari Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu Singapura 2022.
Acara tahunan itu kali ini mengiktiraf hampir 9,000 pekerja jagaan kesihatan atas khidmat mereka yang sangat luar biasa. Daripada jumlah tersebut, lapan menerima Anugerah 'Superstar' sebagai pemenang terbaik dalam kategori klinisian, penjagaan, kesihatan bersekutu dan pentadbiran.
PERNAH DERITA BARAH; DIDIAGNOS TIDAK LAMA SELEPAS MELAHIRKAN
Sekilas tentang Cik Zulfa... beliau didiagnos dengan sejenis barah tulang pada 2006. Ketika itu beliau baru melahirkan cahaya matanya yang kedua tetapi Cik Zulfa sudah perlu menjalani dua pembedahan dan kemoterapi.
"Anak-anak masih kecil. Jadi kami sekeluarga susah sebab saya mengalami kesan sampingan, perlu sering jumpa doktor (sedangkan) waktu anak-anak kecil-kecil, mereka perlukan perhatian. Sukar sekali," luahnya.
Cik Zulfa bagaimanapun memilih untuk tetap bekerja sepanjang menjalani rawatan sungguhpun beliau pernah perlu bertongkat.
Beliau akhirnya bebas barah pada 2019 dan tidak lagi perlu menjalani kemoterapi. Pada tahun yang sama inilah, beliau bertemu dengan seorang pesakit barah yang mempelawanya untuk datang ke rumah.
Di NCCS, interaksi Cik Zulfa bersama pesakit lazimnya terjadi ketika beliau membantu menguruskan konsultasi dan mengambil darah mereka.
Mungkin sikapnya yang begitu ramah membuat si pesakit itu mengajaknya ke rumah. Cik Zulfa juga tidak banyak bertanya mengapa beliau diundang dan akhirnya datang menziarah pada luar waktu kerja.
"SAYA PERNAH JALANI KEMO, IA SANGAT SUKAR"
"Saya pergi ke rumahnya dan saya terperanjat. Ia rumah satu bilik, tidak ada katil, ada banyak kotak. Dari situ saya rasa kesian," ceritanya sambil menambah, pesakit berkenaan dalam lingkungan usia lebih 40 tahun dan hidup sebatang kara.
Sebak melihat nasib pesakit itu, Cik Zulfa lantas membelikan tilam dan membersihkan rumahnya. Kemudian timbul kebimbangan lain.
"Saya tanya: Makan macam mana? Dia kata: Oh kadang-kadang jiran sebelah bagi, dia akan makan untuk dua hari. Saya rasa that's not right. Sebab dia menjalani kemoterapi dan saya pernah menjalani kemo, ia sangat sukar. Anda perlu makan makanan yang bernutrisi yang baru dimasak.
"Jadi bila saya dapat gaji tu, saya belikan barang-barang dapur untuk dia masak. Kadang-kadang dia tidak sihat, saya masak lebih. Saya suruh suami saya hantar ke rumahnya. Sampailah akhir hayatnya," tambah beliau.
URUS PENGEBUMIAN, MANDI & KAFANKAN JENAZAH
Yang pasti, keikhlasan Cik Zulfa dapat dirasakan si pesakit sehingga beliau sempat berani meminta Cik Zulfa menguruskan pengebumiannya.
"Sebelum dia meninggal, beliau memberitahu saya kalau bolehlah uruskan pengebumiannya. Dia cakap dia tidak ada saudara mara," kata Cik Zulfa yang akhirnya bersetuju.
Janji itu beliau tepati bersama sang suami.
"Saya dapatkan khidmat percuma bagi orang-orang yang tidak bersaudara gini. Mereka hanya perlukan bantuan untuk turunkan jenazah. Saya minta teman-teman saya yang lelaki, suami saya, anak-anak saya. Saya pula tolong bersihkan dan kafankan jenazah," cerita Cik Zulfa.
Ditanya mengapa beliau sanggup melakukan semua itu, ini luahan hati jururawat itu:
"Bila terkena barah, saya rasa masa kita hidup seperti terhad. Jadi saya selalu rasa, biar saya bantu orang yang memerlukan dulu. Siapa tahu nanti, satu hari juga saya akan melaluinya kan?"
Mengulas tentang pengiktirafan Anugerah 'Superstar' yang diterimanya pula, Cik Zulfa berkata beliau sangat berbesar hati menerimanya.
"Ia satu penghormatan untuk menerima anugerah ini dan saya mahu terus lakukan terbaik kerana saya bekas pesakit juga.
"Dan saya ingin terus melakukan yang terbaik kerana saya juga seorang bekas pesakit. Saya ingin pesakit saya tahu, kita boleh sama-sama melalui masa-masa sukar ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.