Penolong doktor haiwan di unit K-9 polis kes tunggal COVID-19 dalam masyarakat
Sebanyak 45 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Khamis (14 Jan), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
(Gambar: Try Sutrisno Foo)
SINGAPURA: Sebanyak 45 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Khamis (14 Jan), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Terdapat satu kes jangkitan dalam masyarakat, namun tiada kes baru di dormitori pekerja asing dilaporkan.
Kes tunggal dalam masyarakat, yang dikenali sebagai Kes 59280, kini tidak dikaitkan dengan mana-mana kes sebelumnya. Lelaki warga Singapura 32 tahun itu bekerja sebagai penolong doktor haiwan di Unit K-9 Pasukan Polis Singapura dan tugasnya melibatkan banyak konsultasi video online dengan pengendali anjing.
Lelaki itu mengalami demam pada 11 Januari dan mendapatkan rawatan di klinik doktor GP pada hari yang sama, di mana beliau diuji bagi COVID-19 sebagai sebahagian daripada protokol kesihatan sedia ada.
Beliau tidak keluar rumah semasa cuti sakit sehingga hasil ujiannya kembali positif COVID-19 pada 13 Jan lalu dibawa menaiki ambulans ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID). Hasil ujian serologinya negatif, menunjukkan bahawa ini mungkin jangkitan baru, jelas MOH.
Semua kontak rapatnya yang dikenal pasti, termasuk anggota keluarga dan rakan sekerjanya, sudah diasingkan dan dikuarantin. MOH akan menjalankan ujian COVID-19 dan serologi ke atas mereka juga.
2 KES IMPORT KE S'PURA BAGI ACARA ESUKAN
Lagi 44 kes adalah jangkitan yang diimport, dan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.
Ini merupakan jumlah jangkitan import tertinggi di Singapura sejak 23 Mac, ketika 48 kes import dilaporkan.
Antaranya adalah tiga rakyat Singapura yang masing-masing pulang dari Qatar, Filipina dan United Kingdom serta tiga pemegang pas tanggungan yang tiba dari Amiriah Arab Bersatu dan Ukraine.
Dua lagi adalah pemegang pas pelajar yang tiba dari Pakistan dan Myanmar sementara tiga adalah pemegang pas kerja yang datang dari India dan UAE.
Terdapat 29 pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India, Indonesia, Myanmar dan Filipina, 14 daripadanya adalah pembantu rumah asing. Salah seorangnya, Kes 59260, adalah anggota anak kapal yang bekerja di kapal tangki NewOcean 6. Kelompok NewOcean 6 kini mempunyai 13 jangkitan yang disahkan.
Beliau dikenal pasti sebagai kenalan rapat Kes 58812, dan dikuarantin pada 31 Disember. Lelaki itu diuji semasa menjalani kuarantin dan disahkan COVID-19 pada 13 Januari.
Baki empat kes adalah pemegang pas lawatan jangka pendek. Salah seorang daripada mereka tiba dari India untuk menziarahi anaknya, seorang warga Singapura, manakala seorang lagi tiba dari Indonesia sebagai penjaga ibu bapanya yang sebelum ini menerima rawatan perubatan di Singapura dan kembali ke sini untuk rawatan lanjut. Baki dua kes tiba dari Brazil untuk mengambil bahagian dalam satu acara eSukan.
MOH turut menambah beberapa lokasi baru ke dalam senarai tempat-tempat yang dikunjungi kes COVID-19 dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit. Lokasi-lokasi itu termasuk Pasar Basah & Pusat Makanan Chong Pang City serta cawangan Sheng Siong Junction Nine di Yishun.
TIADA KES DI ICU
MOH menyatakan jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat merosot kepada tiga kes pada minggu lalu berbanding sembilan kes pada minggu sebelumny .
Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat juga merosot daripada enam kes pada minggu sebelumnya menjadi satu kes pada minggu lalu.
Lagi 35 kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah kes yang sudah pulih di Singapura sebanyak 58,757.
Terdapat 41 kes yang masih berada di hospital. Sebilangan besar daripada mereka stabil atau beransur pulih, dan tiada yang berada di unit jagaan rapi (ICU). 202 lagi diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.
Singapura melaporkan 59,029 kes COVID-19 sehingga Khamis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.