Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penolong doktor gigi dijel lebih 16 bulan; gelapkan S$158,000 beli hartanah M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Penolong doktor gigi dijel lebih 16 bulan; gelapkan S$158,000 beli hartanah M'sia

Seorang lelaki menerima rawatan gigi. (Gambar: Loic Venance/AFP)

SINGAPURA: Sepanjang tempoh selama lebih dua tahun, seorang penolong doktor gigi menggelapkan hampir S$158,400 daripada para pesakit dan menggunakan sebahagian daripadanya untuk membeli hartanah di Malaysia. 

Setelah ditangkap, dia merayu kepada doktor gigi tersebut supaya memberikannya peluang kedua dan berjanji akan membayar balik wang yang sudah dilesapkan. Sebaliknya, dia memperdayakan para pesakit dengan cara lain bagi memperolehi jumlah wang yang lebih besar. 

Warga Malaysia Charlene Ashby Clay yang berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 16 bulan dan dua minggu pada hari ini (4 Jan). Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan pecah amanah sebagai seorang penolong dan satu lagi tuduhan memindahkan faedah daripada perbuatan jenayah. 

Empat lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Clay bekerja sebagai seorang penolong doktor gigi di Klinik Dr Smile di Blok 443, Clementi Avenue 3. 

Clay mula menggelapkan wang daripada klinik tersebut sejak Oktober 2018 dengan mengambil wang tunai daripada para pesakit. Dia kemudian akan memasukkan data ke dalam sistem urus niaga klinik untuk menjadikannya seolah-olah para pesakit membuat bayaran melalui kaedah yang tidak dapat disahkan dengan segera, seperti melalui NETS ataupun kad kredit. 

Antara Oktober 2018 hingga Mac 2019, dia menggelapkan S$44,861 melalui kaedah tersebut dan memindahkannya ke dalam akaun banknya sendiri. 

Pada lewat Mac 2019, akauntan klinik berkenaan memberitahu doktor gigi tersebut bahawa terdapat percanggahan antara jumlah wang yang diterima oleh pihak klinik dengan data sistem urus niaga klinik.

Clay mengaku bersalah atas kesalahannya dan merayu kepada doktor gigi tersebut supaya jangan membatalkan permit kerjanya. Dia meminta satu lagi peluang untuk terus bekerja di sana sambil berkata dia sanggup membayar balik doktor gigi itu. Doktor gigi berkenaan memutuskan untuk memberikannya satu lagi peluang untuk menebus kesalahannya. 

Mereka bersetuju antara S$650 hingga S$1,050 akan dipotong daripada gajinya setiap bulan untuk melunaskan S$44,861 kepada klinik tersebut. 

Sungguhpun demikian, Clay masih menggelapkan wang daripada para pesakit. Antara Mac 2019 hingga Mac 2020, dia membuat perjanjian peribadi dengan para pesakit untuk membuat bayaran tunai kepadanya  berjumlah S$113,520. 

Clay menggunakan kaedah baru untuk menggelapkan wang daripada klinik tersebut selain mengubah data, dengan meyakinkan para pesakit supaya memindahkan bayaran penuh untuk pakej perubatan gigi akaun bank miliknya melalui khidmat pindahan dana PayNow. Clay juga akan menawarkan potongan harga yang tidak diluluskan oleh pihak klinik kepada para pesakit jika mereka terus menyalurkan bayaran ke dalam akaun banknya. 

Apabila para pesakit datang ke klinik untuk menggunakan pakej mereka, Clay akan memindahkan sejumlah kecil wang kembali kepada akaun bank klinik tersebut sebagai bayaran dan bagi mengelakkan syak wasangka.

Tipu muslihatnya terbongkar pada 30 Mac 2020 apabila doktor gigi tersebut memberitahu seorang pesakit supaya membayar S$200 di kaunter klinik berkenaan selepas selesai menjalankan prosedur penyenggaraan pada pendakap giginya. 

Pesakit tersebut bagaimanapun memberitahu doktor bahawa beliau sudahpun membuat bayaran penuh sebanyak S$3,700 kepada Clay bagi rawatan pendakap giginya sebelum itu. 

Doktor tersebut terkejut kerana dasar yang diamalkan oleh kliniknya adalah untuk mengenakan bayaran terhadap setiap pesakit selepas menjalani rawatan dan bukan untuk mengambil bayaran sekali gus. Doktor gigi itu bersemuka dengan Clay yang mengaku sekali lagi melakukan kesalahan yang sama. 

Clay memindahkan sebahagian daripada hasil yang diperolehinya secara haram ke dalam akaun banknya di Malaysia dan menghabiskan selebihnya untuk perbelanjaan peribadi, termasuk membeli hartanah di Malaysia. 

Clay sudah membayar balik S$12,348 sebagai sebahagian daripada perjanjian pembayaran balik yang dipersetujuinya dengan doktor gigi semasa diberikan satu lagi peluang untuk menebus kesalahannya. 

Sejak doktor gigi tersebut membuat aduan kepada pihak polis pada Mac 2020, Clay belum lagi membuat sebarang bayaran semula, dedah pendakwa. 

Atas kesalahan pecah amanah sebagai seorang penolong, Clay boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan didenda. 

Atas kesalahan memindahkan keuntungan daripada kegiatan jenayah, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan